PERBICARAAN suspek yang ditahan dalam kes tembakan jatuh pesawat MH17 Malaysia Airlines di selatan Ukrain akan diadakan di Belanda, kata seorang pegawai Belanda hari ini.
298 mereka yang berada di dalam pesawat terbunuh apabila ditembak jatuh pada 17 Julai 2014 dalam penerbangan ke Kuala Lumpur dari Amsterdam.
Penyiasatan bersama antarabangsa itu mengesahkan yang pesawat Boeing 777 itu ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu BUK yang dikeluarkan Rusia dari kawasan yang ditakluk pemberontak, tetapi siasatan jenayah yang dilakukan secara berasingan masih belum menahan mana-mana suspek.
Kini negara yang mengetuai pasukan siasatan bersama (JIT)- Australia, Belgium, Malaysia, Belanda dan Ukrain- bersetuju yang mana-mana perbicaraan akan diadakan menggunakan sistem perundangan Belanda.
Negara itu “memutuskan yang suspek perlu didakwa di Belanda, sebuah proses yang akan berasaskan kepada kerjasama dan sokongan berterusan antarabangsa,” kata Menteri Luar Belanda Bert Koenders dalam satu kenyataan hari ini.
“Kerjasama ini mustahak memandangkan kerumitan kes ini,” tambahnya sambil menimbulkan isu timur Ukrain sebagai zon konflik, “pertemburan sengit masih berlaku di kawasan itu…yang menyebabkan ia sukar dimasuki.”
Siasatan itu juga terganggu dengan “pemalsuan maklumat dan cubaan untuk memperlekehkan siasatan itu”.
Mangsa tragedi itu terdiri daripada rakyat 17 buah negara merentasi lima benua, dan rakyat Belanda ialah jumlah korban tertinggi.
Pendakwaraya Belanda, yang mengetuai siasatan jenayah itu sudah meminta kerajaan untuk menjelaskan kerangka perundangan untuk pendakwaan bagi membolehkan kes itu diteruskan.
September lepas, penyiasat menyimpulkan yang peluru berpandu BUK dari Rusia yang dipindahkan melalui sempadan sebelum kejadian, dilancarkan dari sebuah padang di timur Ukrain yang dikawal pemberontak pro-Rusia, dan mengenai pesawat itu.
Tetapi laporan itu tidak mengatakan pihak yang bertanggungjawab melepaskan tembakan, dan Rusia berulang kali menafikan penglibatan dan menyalahkan Kiev.
Penyiasat juga mengeluarkan dua nama yang dihendaki- Andrey Ivanovich juga dikenali sebagai “Orion”, dan Nikolay Fiodorovich yang menggunakan nama samaran “Delfin”- merayu maklumat lanjut tentang mereka diberikan kepada pasukan penyiasat.
Ukrain dan Belanda akan menandatangani satu perjanjian pada Jumaat ini bagi membenarkan pendakwaan jenayah dipindahkan ke mahkamah Belanda, kata kementerian kehakiman dalam satu kenyataan. – AFP, 5 Julai, 2017.
Komen