Aset syarikat teknologi gergasi China LeEco dibekukan


519 juta saham milik Jia Yueting yang dicagarkan dalam pinjaman itu dibekukan oleh mahkamah. – Gambar EPA, 5 Julai, 2017.

ASET berkaitan syarikat teknologi gergasi China LeEco dibekukan dalam pertikaian dengan pemiutang, yang disahkan oleh satu unit dalam syarikat terbabit selepas berdepan masalah kewangan.

Majalah kewangan China, Caixin melaporkan pada Isnin mahkamah Shanghai mengarahkan pembekuan aset bernilai 1.237 bilion yuan (RM761 juta) yang berkait dengan LeEco, anak syarikatnya dan pengasasnya Jia Yueting.

Keputusan mahkamah itu merupakan tindak balas kepada tindakan undang-undang oleh China Merchant Bank atas pinjaman yang belum jelas kepada unit telefon pintar LeEco, Leview Mobile.

LeEco yang ditubuhkan oleh Jia pada 2004 untuk menyediakan khidmat streaming video dalam talian tetapi secara agresif melancarkan telefon pintar, membuat filem dan mendapatkan hak penyiaran sukan yang menjadi masalah kewangan.

Anak syarikat LeEco, Leshi Internet Information and Technology Corporation dalam satu kenyataan kepada Bursa Saham Shenzhen berkata, 519 juta saham milik Jia yang dicagarkan dalam pinjaman itu dibekukan oleh mahkamah.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyebut ‘aset’ yang dinyatakan Caixin.

Leshi dalam satu kenyataan berkata, tindakan mahkamah itu bagaimanapun tidak menjejaskan operasi dan pengurusan Leshi, namun tidak mengulas mengenai masalah kewangan LeEco.

LeEco dan bank terbabit bagaimanapun tidak memberi maklum balas untuk mengulas mengenai perkara itu kepada AFP. – AFP, 5 Julai, 2017. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen