CABARAN terbesar Pakatan Harapan (PH) Sarawak untuk merampas negeri itu dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada pilihan raya 2021 ialah dengan memenangi undi masyarakat Melayu-Melanau yang mempunyai pengaruh besar, kata penganalisis politik.
29 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan majoriti Melayu-Melanau, sedangkan PH hanya memegang 10 kerusi - DAP (7), PKR (3), kata Ketua Pusat Pengajian Asia Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (Ikmas) Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Faisal S. Hazis.
Dan daripada 10 kerusi itu, tiada satu pun kerusi majoriti Melayu-Melanau.
“Itu cabaran paling besar yang perlu PH Sarawak hadapi - bagaimana untuk menembusi 29 kerusi majoriti Melayu-Melanau,” kata Faisal, pakar dalam politik Melayu Sarawak, pada forum pasca PRU14 di Kuching baru-baru ini.
Menurut beliau, majoriti orang Melayu dan Melanau mengundi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya UMum Ke-14 (PRU14) lalu.
“Kesemua kerusi majoriti cina mereka pegang. Mereka berjaya mengurangkan undi popular BN di kawasan orang Iban, Bidayuh (Dayak) tetapi sukar menembusi kawasan Melayu-Melanau.”
Tambah beliau, skandal, tuduhan rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang membawa kepada kejatuhan bekas perdana menteri Najib Razak tidak menjejaskan pengundi Melayu dan Melanau di Sarawak dan atas sebab itulah mengapa masih ramai yang mempercayai BN.
Faisal berkata orang Melayu dan Melanau “bimbang dengan apa yang akan terjadi kepada kepentingan mereka di bawah pentadbiran PH”.
“Selama tiga hingga empat dekad, naratif ‘kamu (Melayu-Melanau) sebagai minoriti akan hilang kuasa kalau tidak berdiri teguh di belakang parti’ yang ditanam dalam pemikiran mereka oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (parti utama dalam BN Sarawak).
“Inilah propaganda BN yang mendorong pengundi Melayu-Melanau yang perlu dihadapi,” kata Faisal. – 3 Julai, 2018.
Berita penuh di sini.
Komen