Dua tebusan Vietnam dipenggal militan Filipina


Tentera Filipina menemui mayat dua tebusan awal pagi tadi di pulau Basilan, kubu kuat kumpulan penculikan Abu Sayaf. – Gambar fail EPA, 5 Julai, 2017.

MILITAN memenggal dua pelayar Vietnam yang menjadi tebusan selama lapan bulan di Filipina selatan, kata tentera hari ini.

Tentera Filipina menemui mayat dua tebusan awal pagi tadi di pulau Basilan, kubu kuat kumpulan penculikan Abu Sayaf, kata jurucakap tentera, Kapten Jo-Ann Petinglay.

“Ini adalah langkah terdesak daripada Kumpulan Abu Sayyaf kerana mereka melihat mereka tidak mendapat keuntungan daripada kegiatan penculikan mereka,” kata Petinglay.

Abu Sayyaf, pada asalnya rangkaian militan bebas yang dibentuk pada tahun 1990-an dengan dana daripada rangkaian Al-Qaeda, berpecah kepada beberapa puak, dengan sebahagian terus terlibat dengan aktiviti samun dan penculikan.

Satu puak menjanjikan kesetiaan kepada kumpulan IS, dengan ada antara ahli di antara mereka yang memegang beberapa kawasan di Marawi, kota Islam paling penting di negara majoriti beragama Katolik itu.

Militan terus menduduki beberapa kawasan di Marawi walaupun serangan tentera yang disokong Amerika Syarikat di sana membunuh lebih daripada 460 nyawa dan mengusir hampir 400,000 orang sejak ia bermula pada Mei.

Kedua-dua warga Vietnam itu ditangkap pada November lalu bersama empat anggota kru Vietnam yang lain daripada sebuah kapal dari wilayah selatan Mindanao, kata tentera.

“Salah satu daripada enam krew diselamatkan bulan lepas dan tiga masih ditawan.” 

“Militan Abu Sayyaf menahan sejumlah 22 tebusan, termasuk 16 orang asing,” kata Petinglay.

Abu Sayyaf terkenal dengan memenggal kepala tebusannya kecuali pembayaran tebusan dibuat.

Seorang warga Jerman, Jurgen Kantner,70, dipenggal pada Februari selepas permintaan penculik untuk 30 juta peso (RM600,000) tidak dipenuhi.

Tahun lepas, kumpulan itu memenggal dua tebusan Kanada. – AFP, 5 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen