Qatar kecam tuntutan ‘tidak realistik’ Arab dalam krisis Teluk


Menteri Luar Qatar Sheikh Mohammed Abdulrahman Al-Thani berkata senarai syarat dikemukakan Arab Saudi untuk memulihkan hubungan diplomatik itu tidak realistik. – Gambar EPA, 5 Julai, 2017.

QATAR semalam berkata tuntutan negara Arab dalam krisis diplomatik Teluk mustahil untuk dipenuhi, sebelum rundingan di Mesir antara Arab Saudi dan sekutunya yang memutuskan hubungan dengan Doha.

Menteri Luar Qatar Sheikh Mohammed Abdulrahman Al-Thani pada sidang media di Doha berkata senarai syarat untuk memulihkan hubungan diplomatik itu “tidak realistik dan tidak boleh dilakukan”.

“Ia bukan mengenai keganasan, ia mengenai menutup kebebasan bersuara, ” katanya pada sidang media bersama selepas rundingan dengan rakan sejawatannya dari Jerman, Sigmar Gabriel.

Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Mesir, menuduh Qatar menyokong keganasan, memberi Doha tambahan 48 jam bagi memenuhi tuntutan mereka selepas tarikh akhir awal 10 hari tamat Ahad lalu.

Tuntutan itu termasuk meminta Doha menamatkan sokongan kepada Ikhwanul Muslimin, menutup syarikat penyiaran Al-Jazeera, menurunkan hubungan diplomatik dengan Iran dan menutup pangkalan tentera Turki di negara itu.

Sheikh Mohammed menyerahkan maklum balas rasmi Isnin lalu kepada Kuwait, yang menjadi pengantara dalam pertelingkahan itu.

Bagaimanapun, beliau enggan memberi butiran lanjut semalam dan berkata Doha sedang mencari penyelesaian terhadap krisis selama sebulan itu menerusi dialog. – AFP, 5 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen