Himpunan, polisi, solusi dan harapan


Mandeep Singh

BEBERAPA hari sebelum Hari Raya Aidilfitri yang lalu, rakyat Malaysia sekali lagi digemparkan dengan berita Department of Justice (DoJ), Amerika Syarikat.

Beberapa watak baru telah dinamakan dalam laporan oleh badan kehakiman Amerika Syarikat itu. Antara watak yang telah menjadi perbualan umum sebelum dan ketika Aidilfitri adalah isteri kepada MO1. Adalah dilaporkan bahawa isteri MO1 ini telah diberikan hadiah seutas rantai berlian berwarna merah jambu yang bernilai puluhan juta ringgit. Rakyat Malaysia juga terkejut dengan laporan Mirander Kerr yang juga mendapat barangan kemas bernilai lebih kurang US$8 juta.

Seminggu selepas itu, Pakatan Harapan (PH) mengumumkan bahawa mereka akan menjelajah ke seluruh pelusuk negara untuk memberikan penerangan mengenai skandal rasuah global ini. Kemudianya Ketua Pembangkang Wan Azizah Wan Ismail turut mengumumkan bahawa satu himpunan ‘Sayang Malaysia Hapuskan Kleptokrasi’ akan dianjurkan pada bulan September sebagai pengakhiran jelajah ini.

Saya sebagai seorang yang pro kepada himpunan jalan raya, amat-amat mengalu-alukan penganjuran himpunan jalan raya ini. Ini adalah penting untuk kita semua menyatakan bantahan terhadap mereka yang telah terlibat pada skandal rasuah terbesar ini.

Bagi saya, ini merupakan solidariti antara kita sesama rakyat untuk menunjukkan penolakan kita terhadap sekumpulan pemimpin negara yang mengamalkan rasuah dan salah guna kuasa.

Polisi

Namun, pada masa yang sama, saya merasakan bahawa adalah satu kerugian yang besar jikalau jelajah ini hanya dijadikan satu pentas mengulangi permasalahan dan rintihan salah guna kuasa MO1 dan kuncu-kuncunya.

Umum sudah mengetahui akan skandal global 1MDB. Malah, masyarakat dunia turut mengetahui tentang 1MDB. Tetapi, harus saya akui bahawa bukan semua rakyat Malaysia yang dapat mengaitkan secara langsung akan skandal rasuah ini dengan kehidupan harian mereka. Masih ada yang belum memahami bagaimana skandal rasuah ini telah menjejaskan ekonomi negara kita.

Tetapi, saya sebagai seorang pengundi muda yang akan mengundi pada PRU14 nanti amat-amat berharap agar PH akan mula membentangkan polisi-polisi dan langkah-langkah yang akan diambil oleh PH untuk memulihkan ekonomi negara ini setelah atau jikalau mereka memerintah nanti.

Saya merasakan, rakyat diluar sana juga harus diberikan taklimat dan penerangan sebegini agar mereka akan mendapat pencerahan yang jelas sebelum mereka ke kertas undi pada hari pengundian.

Pada 2013, rakyat boleh menbayangkan dengan jelas akan apa yang ditawarkan oleh Pakatan Rakyat pada ketika itu melalui manifesto buku jingga. Walaupun buku itu mungkin tidak dibaca oleh keseluruh rakyat Malaysia, namun beberapa initipati dalam buku tersebut telah dihafal oleh hampir kesemua rakyat Malaysia.

Contohnya, pemansuhan tol, penurunan harga minyak dan pendidikan percuma. Namun, hari ini, kita masih belum mendengar dua atau tiga langkah bagaimana kita menangani masalah ini. Adalah satu kerugian jikalau kesempatan ini tidak diambil untuk memberitahu rakyat bagaimana PH akan mengatasi masalah ini apabila mereka berkuasa nanti. Saya yakin, rakyat kini mahu mendengar polisi dan solusi untuk Malaysia baru oleh PH.

Solusi

Ini adalah peluang terbaik juga untuk PH menyakinkan pengundi akan betapa seriusnya mereka mahu mentadbir negara ini dan sekaligus menjatuhkan kleptrokasi dan salahguna kuasa.

Saya ingin mencadangkan agar PH memberikan fokus ke atas polisi-polisi seperti pendidikan, ekonomi, pengawalan kos harga barang harian, kesihatan dan juga sistem pilihan raya dan sistem urus tadbir. Saya akui, menceritakan kepincangan sistem pilihan raya dan urus tadbir akan sekali lagi menyukarkan atau akan menjadi topik yang tidak popular. Tetapi, ini boleh dijadikan satu agenda jangkamasa panjang oleh PH.

Pendidikan, ekonomi, harga barangan harian dan isu kesihatan boleh dijadikan teras utama polisi PH. Jelajah ini harus dijadikan permulaan kempen pilihan raya oleh PH kerana kita kini sedang memasuki pusingan terakhir sebuah perlumbaan kerana pada 22 Jun 2018, Parlimen Malaysia akan terbubar secara automatik, kalaupun Najib Razak tidak membubarkannya.

Maka dengan hanya tinggal lebih kurang 12 bulan, peluang ini harus digunapakai secara maksimum. Mood pilihan raya harus dihidupkan dengan menunjukkan bahawa PH bukan hanya berkempen sebagai sebuah pakatan parti politik pembangkang sahaja, tetapi kini sebagai sebuah pakatan yang bersedia untuk menjadi mentadbir di Putrajaya.

Harapan

Akhir sekali, harapan adalah satu elemen yang paling penting untuk diberikan kepada kesemua rakyat Malaysia, samada mereka adalah pengundi ataupun bukan pengundi. Harapan hanya akan lahir melalui kepimpinan. Saya yakin ramai yang berkaliber untuk menunjukkan kepimpinan ini.

Adalah bonus jikalau PH boleh menamakan pemimpin yang muda untuk mengetuai barisan kepimpinan kerana majoriti pengundi pada PRU14 merupakan anak muda. PH harus menyelesaikan isu kepimpinan mereka secepat mungkin agar pada jelajah nanti, rakyat bukan hanya akan disajikan dengan polisi, tetapi juga akan mendapat harapan apabila melihat kepimpinan yang benar-benar mahukan perubahan.

Dan jadikan lah Kuala Lumpur nanti sebagai satu pentas dimana anak semua bangsa hadir untuk menunjukkan kasih sayang kepada negara yang menolak rasuah dan mahukan Malaysia baru bukan hanya untuk kita, tetapi untuk anak cucu kita pada hari esok. – 8 Julai, 2017.

*

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen