Shahrir beri keterangan RM1 juta didakwa diterima daripada 1MDB


Muzliza Mustafa

Bekas pengerusi Felda, Shahrir Abdul Samad tiba di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Putrajaya, hari ini bagi memberi keterangan berhubung siasatan mengenai dana yang diterima daripada 1MDB. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 3 Julai, 2018.

BEKAS pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Shahrir Abdul Samad disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini berhubung wang berjumlah RM1 juta yang didakwanya diterima daripada bekas presiden Umno Najib Razak pada 2015.

Dana itu dipercayai berasal daripada firma pelaburan negara bermasalah 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata sumber kepada The Malaysian Insight.

Sumber itu berkata Shahrir adalah seorang daripada 81 individu dibekukan akaun bank oleh pihak berkuasa berhubung siasatan 1MDB.

Semalam, pasukan petugas khas 1MDB mendedahkan sejumlah 408 akaun bank milik 81 individu dan 55 syarikat dengan jumlah dana sehingga RM1.1 bilion dibekukan oleh SPRM yang dikaitkan dengan 1MDB sejak ia mula disiasat pada akhir Mei.

Kenyataan itu mengatakan akaun yang dibekukan juga milik beberapa parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan, dan ia dilakukan pada 26 Jun dan 29 Jun.

Sharir, pengerusi BNBBC pada 2015, mengakui menerima dana itu daripada Najib yang ketika itu menjadi perdana menteri.

“Siapa lagi saya boleh meminta bantuan kewangan untuk perbelanjaan pentadbiran jika bukan daripada presiden partinya sendiri,” katanya, mengulas mengenai artikel Sarawak Report yang mendakwa beliau menerima dana daripada Najib.

Shahrir dalam satu kenyataan yang diterbitkan oleh BNBBC.my yang kemudiannya diambil oleh Astro Awani berkata beliau bersedia menerangkan perkara itu jika diminta berbuat demikian.

Kenyataan itu berkata adalah perkara biasa bagi seorang presiden parti memberi bantuan kewangan, terutamanya kepada bahagian yang tidak mempunyai dana mencukupi.

Sarawak Report pada 14 Ogos 2017 mendakwa Shahrir menerima RM1 juta selepas Pilihan Raya Umum ke-13 dan bekas menteri Ahman Maslan menerima RM2 juta.

Laporan itu juga mendakwa ketua Puteri Umno ketika itu, Mas Ermieyati Samsudin menerima RM50,000 selepas pilihan raya. – 3 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • satu persatu kes melibatkan dana ini dibongkarkan, rakyat mengharapkan agar kes ini cepat-cepat diselesaikan

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan