DUA belas kanak-kanak lelaki dan jurulatih pasukan bola sepak mereka yang ditemui selamat selepas terperangkap dalam gua Tham Luang di Chiang Rai, utara Thailand, akan dibekalkan dengan makanan selama empat bulan dan belajar menyelam, kata pasukan tentera.
Ia susulan kesukaran untuk membawa mereka keluar dari bawah tanah gua itu.
Kumpulan berusia antara 11 dan 16 tahun itu ditemui bersama jurulatih mereka yang berusia 25 tahun malam tadi, dalam keadaan kurus kering tetapi semuanya masih hidup, terkurung di dalam gua yang dipenuhi air selama sembilan hari, selepas terperangkap ketika banjir.
Dalam keadaan sangat memerlukan makanan dan bekalan ubat – termasuk yang berkalori tinggi dan parasetamol – pasukan penyelamat menghantar semuanya kepada mereka dan bersedia dengan kemungkinan mereka perlu berada di situ untuk sementara waktu lagi.
“Kami akan bersedia untuk menghantar makanan tambahan yang boleh bertahan sekurang-kurangnya empat bulan dan melatih mereka untuk menyelam sementara terus mengeluarkan air dari gua ini,” kata kapten tentera laut Anand Surawan, menurut kenyataan daripada Pasukan Tentera Thailand.
Kejayaan pasukan itu menemui semua mangsa mencetuskan rasa gembira di seluruh negara selepas operasi menyelamat terhalang akibat hujan lebat dan banjir.
“Kami menganggap misi ini mustahil kerana hujan setiap hari, tetapi dengan tekad dan peralatan, kami lawan alam semula jadi,” kata Gabenor Chiang Rai Narongsak Osottanakorn hari ini.
“Doktor menasihati supaya kami menyediakan beberapa ubat untuk mengelak jangkitan dan penyakit lain,” katanya, menambah pasukan perubatan sudah tiba ke lokasi pasukan bola sepak muda itu.
Kanak-kanak itu ditemui oleh penyelam dari Britain malam semalam dengan rakaman video menunjukkan semua mangsa kurus dan berkumpul dalam kawasan berlumpur di dalam gua itu. – AFP, 3 Julai, 2018.
Komen