Shell Malaysia turunkan keratan iklan wanita bertudung


Shell bagaimanapun tidak menyatakan jumlah sebenar keratan iklan yang dibuang dan stesen yang terlibat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Julai, 2017.

SYARIKAT petroleum Shell membuang keratan iklan wanita bertudung di stesen minyaknya selepas gambar lelaki berkelakuan tidak senonoh dengan meraba keratan itu tersebar di media sosial.

Keratan iklan itu memaparkan seorang pekerja wanita stesen minyak, memakai baju-t merah berlogo Shell, seluar hitam dan bertudung hitam diletakkan di stesen Royal Dutch Shell Malaysia.

Namun, gambar lelaki mencium keratan iklan kadbod, memegang tangan dan meraba dada keratan iklan itu tersebar di Facebook, yang disifatkan Shell sebagai “tindakan tidak menyenangkan”.

Wanita berkenaan, Nor Shafila Khairusalleh, 25 tahun yang bekerja di stesen minyak Shell turut mengkritik perbuatan lelaki terbabit.

“Mereka mungkin hanya melawak tetapi saya amat malu kerana itu tetap saya walaupun ia hanyalah gambar,” katanya kepada portal mStar.

Sementara itu syarikat minyak gergasi itu dalam satu kenyataan berkata, “Kami tidak boleh terima perbuatan biadap bertentangan dengan budaya Malaysia dan nilai teras Shell. Kami menggesa agar netizen tidak lagi menyebarkan gambar berkenaan. Keratan iklan itu akan ditanggalkan serta merta.”

Wartawan AFP di stesen minyak Shell Bentong berkata, dua keratan iklan itu dibuang dari kawasan luar dan dalam premis. Kakitangan stesen minyak berkenaan berkata, iklan itu akan dibuang dan disimpan di dalam stor.

Shell bagaimanapun tidak nyatakan jumlah keratan iklan yang dibuang dan stesen minyak mana terlibat. Syarikat minyak gergasi itu mempunyai 950  buah stesen minyak di seluruh Malaysia dan menerima hampir sejuta pelanggan setiap hari, menurut laman web Shell.  – AFP, 4 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen