GUNUNG berapi di pulau peranginan Bali, Indonesia meletus semalam, mengeluarkan debu setinggi 2,000 meter (6,500 kaki) ketika lava berwarna jingga terang melimpah dari puncaknya.
Minggu lalu, pulau itu terpaksa menutup lapangan terbang dan ratusan penerbangan terkandas selepas Gunung Agung meletus.
Agensi geologi Indonesia berkata letusan terbaru itu berlaku jam 9 malam tadi waktu tempatan, berlangsung selama lebih 7 minit dan lava panas mengalir sehingga kira-kira 2km.
Jarak 4km sekitar Gunung Agung ditutup daripada kemasukan orang ramai.
Setakat ini, paras berjaga-jaga dikekalkan, amaran bahaya kedua tertinggi, sementara Lapangan Terbang Ngurah Rai terus dibuka.
Letusan pada November menyebabkan ribuan pelancong terkandas dan menjejaskan industri pelancongan Bali.
Debu berbahaya kepada pesawat kerana ia menjadikan landasan licin dan ia boleh tersedut ke dalam enjinnya.
Gunung Agung, kira-kira 70km dari Kuta, hab pelancongan di Bali, meletus beberapa kali sejak kembali aktif tahun lalu.
Ribuan penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.
Letusan besar Gunung Agung pada 1963 menyebabkan kira-kira 1,600 terbunuh.
Indonesia terletak di “gelang api” Pasifik, zon geologi yang tidak stabil di mana plat tektonik bergeser menyebabkan gempa sering berlaku dan aktiviti gunung berapi besar. – AFP, 3 Julai, 2018.
Komen