PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Donald Trump meminta China mengambil tindakan tegas terhadap Korea Utara selepas pelancaran terbaru peluru berpandu balistik, dan menggesa Beijing “tamatkan perkara karut ini serta merta”.
“Tiada apa yang lebih baik untuk lelaki ini buat dalam hidup?,” kata Trump kepada Kim Jong-Un selepas tentera Korea Selatan melaporkan peluru berpandu yang dilancarkan jatuh di Laut Jepun.
Pelancaran itu turut disahkan tentera AS.
“Sukar untuk dipercayai Korea Selatan dan Jepun boleh bertahan dengan perkara ini sejak sekian lama,” tulisnya di Twitter.
“Mungkin China perlu mengambil tindakan tegas terhadap Korea Utara dan tamatkan perkara karut ini serta merta!”
Pihak berkuasa Seoul berkata pelancaran peluru berpandu balistik itu dibuat berhampiran Panghyon, utara wilayah Phyongan, sehari selepas Trump menerima kunjungan pemimpin Korea Selatan, Moon Jae-In di White House.
Trump menggesa China – sekutu diplomatik paling rapat Korea utara – untuk menekan Pyongyang menghentikan program nuklear dan peluru berpandu balistik.
Bagaimanapun, beliau kemudiannya mengumumkan usaha China itu “tidak menjadi” tanpa campur tangan AS. – AFP, 4 Julai, 2017.
Komen