SEORANG kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun meninggal dunia selepas parah dalam insiden seorang lelaki mengamuk menyerang parti hari jadi menggunakan pisau di Idaho, Amerika Syarikat (AS) dua hari lalu, kata polis.
Polis dalam satu kenyataan berkata, kanak-kanak itu diterbangkan ke Utah untuk mendapatkan rawatan namun gagal diselamatkan disebabkan kecederaan yang dialaminya.
“Lapan lagi mangsa, seorang kanak-kanak sudah dirawat dan dibenarkan keluar dari hospital. Tujuh lagi mangsa masih di hospital, sementara ramai di antaranya mengalami kecederaan parah atau kritikal,” kata polis.
Serangan pada malam Sabtu lalu itu berlaku ketika sambutan hari lahir di pangsapuri kos rendah untuk pelarian.
Suspek dikenal pasti polis sebagai Timmy Kinner, 30, dari Los Angeles, melakukan serangan bermotif balas dendam selepas diarah meninggalkan pangsapuri di ibu negeri Boise Jumaat lalu.
Dia kemudian kembali malam Sabtu, menyerang kanak-kanak terlebih dulu sebelum menyasar orang dewasa yang melindungi mereka.
Kinner dijadualkan dihadapkan di mahkamah Isnin depan. – AFP, 3 Julai, 2018.
Komen