KOREA Utara melancarkan peluru berpandu balistik semalam, kata tentera Korea Selatan, beberapa hari selepas pemimpin baharu Seoul Moon Jae-In dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berbincang mengenai ancaman dari Pyongyang pada sidang kemuncak pertama mereka.
Pelancaran yang dibuat ketika AS bersiap untuk menyambut cuti 4 Julai itu merupakan provokasi terbaru yang meningkatkan ketegangan berhubung senjata nuklear Korea Utara.
Peluru berpandu balistik yang tidak dikenali itu dilancarkan berhampiran Banghyon di daerah Utara Phyongan, dan jatuh di Laut Jepun, menurut kenyataan tentera Korea Selatan.
Senjata itu mungkin jatuh di kawasan zon ekonomi eksklusif Jepun, kata jurucakap kementerian pertahanan Jepun.
Pyongyang sebelum ini dilaporkan pernah melancarkan beberapa siri peluru berpandu yang disifatkan negara lain sebagai provokasi.
Sementara itu, tentera Amerika Syarikat mengesahkan ujian peluru berpandu yang dijalankan Korea utara itu.
Tentera AS dalam satu kenyataan berkata, peluru berpandu darat dikesan selama 37 minit sebelum jatuh di Laut Jepun. Ia bagaimanapun tidak memberi ancaman kepada Amerika Utara.
“Kami bekerjasama dengan beberapa agensi antarabangsa untuk butiran lanjut peancaran itu. Pihak kami akan terus memantau tindakan Korea Utara dan Pusat Perintah Pasifik AS akan memberikan komitmen untuk menjamin keselamatan sekutu kami Korea Selatan dan Jepun,” menurut kenyataan itu. – AFP, 4 Julai, 2017.
Komen