Kucing, anjing dari Sarawak dilarang masuk ke semenanjung


KUCING dan anjing dari Sarawak akan diharamkan masuk semenanjung Malaysia susulan berlaku wabak rabies atau penyakit anjing gila di Serian.

Tindakan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) diambil selepas Sabah mengenakan larangan yang sama, bagi mencegah kemungkinan wabak itu merebak ke semenanjung, lapor The Star Online.

“Larangan itu berkuat kuasa serta-merta dan dilaksanakan sehingga notis lanjut dikeluarkan Maqis. Kami memantau pergerakan kucing dan anjing dari negeri itu dan menggesa semua pihak mematuhi peraturan itu,” kata Ketua Pengarah Maqis Mokhtaruddin Husain dipetik sebagai berkata.

Bagaimanapun, anjing dan kucing dari semenanjung masih boleh dihantar ke Sarawak jika semua permit diperoleh.

Antara yang akan terjejas dengan arahan itu ialah penganjur pertunjukan kucing antarabangsa di Petaling Jaya pada 15 Julai.

Penolong Pengurus Pertunjukan Kucing Antarabangsa Kool Cats CFA Mohd Hafizul Mew Hamzah berkata mereka akan menolak penyertaan dari Sarawak dan berharap negeri itu akan bebas daripada wabak rabies secepat mungkin.

Tiga kanak-kanak di Sarawak berumur empat, enam dan tujuh dilaporkan dijangkiti rabies minggu lalu di Kampung Lemur Gedong dan Kampung Paon, Sungai Rimu di Serian. – 4 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen