QATAR semalam akhirnya memberi respons kepada senarai tuntutan daripada Arab Saudi dan sekutunya selepas mereka bersetuju memberikan negara itu lanjutan tempoh 48 jam lagi untuk menjawab keluhan mereka.
Butiran jawapan tidak didedahkan tetapi pegawai negara Teluk berkata Menteri Luar Qatar Sheikh Mohammed Abdulrahman Al-Thani menghantarnya ketika lawatan ke Kuwait.
Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Mesir mengumumkan pagi semalam mereka melanjutkan tarikh akhir untuk Qatar bersetuju dengan senarai 13 tuntutan yang dikeluarkan pada 22 Jun.
Dalam satu kenyataan bersama mereka berkata tarikh akhir dilanjutkan selepas ia tamat pada tengah malam Ahad, seperti dipohon Kuwait yang bertindak sebagai orang tengah.
Tuntutan itu termasuk supaya Doha mengakhiri sokongan kepada Ikhwanul Muslimin, menutup syarikat penyiaran Al-Jazeera, menurunkan hubungan diplomatik dengan Iran dan menutup pangkalan tentera Turki.
Sheikh Mohammed sebelum ini berkata tuntutan itu akan ditolak dan pada Isnin, peguam Britain untuk Qatar mengecam tuntutan itu dan dianggap sebagai “penghinaan terhadap undang-undang antarabangsa”.
Pada petang semalam, Menteri Luar Arab Saudi Adel al-Jubeir berkata mereka mengharapkan respons positif akan dapat menyelesaikan krisis itu.
Jubeir memberitahu sidang akhbar di Jeddah yang jawapan Qatar akan diteliti.
Arab Saudi dan sekutunya pada 5 Julai memutuskan hubungan dengan negara jiran mereka Qatar, mencetuskan krisis diplomatik terburuk di negara Teluk dalam tempoh berdekad lamanya.
Mereka menuduh Qatar menyokong ekstremisme dan terlalu rapat dengan musuh Arab Saudi, Iran, dan Doha menafikan semua tuduhan itu. – AFP, 4 Julai, 2017.
Komen