PESAWAT AirAsia X dari Coolangatta di Gold Coast, Australia terpaksa berpatah balik selepas mengalami kerosakan enjin, dipercayai akibat dilanggar burung, tidak lama selepas berlepas.
Pesawat D7207 dalam perjalanan ke Kuala Lumpur itu membawa 345 penumpang dan 14 anak kapal berlepas dari Australia pada 10.20 malam tadi.
Ia mendarat dengan selamat kembali ke Lapangan Terbang Brisbane pada 11.33 malam.
Semua penumpang dan anak kapal dilaporkan selamat.
Dua bangkai burung turut ditemui di landasan, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Benyamin Ismail dalam satu kenyataan malam tadi.
“Kami mengikuti setiap garis panduan bagi memastikan keselamatan penumpang di mana buat masa ini setiap keperluan mereka sedang diuruskan kakitangan kami.
“Kami memuji tindakan pantas dan profesionalisme kru penerbangan dalam memastikan keselamatan penumpang sehingga pesawat berkenaan berjaya mendarat di Lapangan Terbang Brisbane.
Penerbangan khas bagi membawa penumpang daripada penerbangan D7207 ke Kuala Lumpur diatur secepat mungkin.
Pada 26 Jun, penerbangan AirAsia X D7237 terpaksa kembali ke Perth, 90 minit selepas berlepas ke Kuala Lumpur selepas mengalami kegagalan enjin.
Pesawat itu berlepas dari Perth pada 6.50 pagi waktu tempatan dengan 359 penumpang tetapi berpatah balik kerana masalah enjin dan berjaya mendarat pada 10 pagi. – 4 Julai, 2017.
Komen