JUMLAH kematian akibat letupan tangki minyak di tengah Pakistan bulan lalu meningkat kepada kira-kira 205 orang, kata pegawai kerajaan hari ini, apabila lebih ramai mangsa meninggal dunia akibat kecederaan mereka.
Lori tangki berkenaan terbalik di lebuh raya utama dari Karachi ke Lahore ketika membawa kira-kira 40,000 liter minyak pada 25 Jun.
Ia meletup beberapa minit kemudian ketika orang ramai dari kampung berdekatan berkumpul untuk mendapatkan minyak, walaupun diberi amaran agar berhenti berbuat demikian oleh pemandu serta polis lebuhraya.
“Jumlah korban akibat kejadian kebakaran tangki minyak itu kini mencecah 205 akibat kecederaaan,” kata pegawai kanan tempatan Rao Tasleem di Bahawalpur kepada AFP.
Seorang doktor di Hospital Victoria Bahawalpur, Asim Bukhari, memaklumkan jumlah kematian mencecah 206 selepas kematian baru hari ini, walaupun tidak disahkan pihak berkuasa kerajaan.
Jurucakap polis lebuh raya, Imran Shah berkata, siasatan kerajaan terhadap insiden itu mendapati sekurang-kurangnya lima pegawai polis bersalah kerana menyembunyikan maklumat.
Tragedi ini berlaku menjelang sambutan Aidilfitri selepas hampir sebulan menjalani ibadah berpuasa dalam bulan Ramadan.
Pakistan mempunyai rekod kemalangan jalan raya yang buruk akibat jalan raya teruk, kenderaan tidak diselenggara dan pemanduan cuai. – AFP, 3 Julai, 2017.
Komen