PM Singapura nafi tuduhan nepotisme


Perdana Menteri Lee Hsien Loong tegas menolak tuduhan tentang penyalahgunaan kuasa dan nepostisme yang dibuat adik-beradiknya. – Gambar AFP, 3 Julai, 2017.

PERDANA Menteri Singapura Lee Hsien Loong di persidangan parlimen hari ini dengan tegas menolak tuduhan “tidak berasas” daripada adik-beradiknya tentang penyalahgunaan kuasa dan nepotisme yang mengejutkan republik itu.

Pemimpin itu sedang mencari jalan keluar daripada perselisihan besar tentang ayahnya bekas perdana menteri Lee Kuan Yew, yang menjadi tumpuan di mana sebelum ini perbincangan secara terbuka terhadap keluarga pemimpin republik itu jarang berlaku dan pengkritik dihadapkan ke mahkamah.

Perselisihan itu meletus pada bulan lepas ketika adik beradik Hsien Loong melancarkan serangan ke atasnya di media sosial - yang cepat menular - menuduh beliau mengeksploitasi warisan ayah mereka untuk agenda politiknya sendiri dan berusaha untuk menjadikan anaknya sebagai pemimpin di masa depan.

Mereka juga menimbulkan persoalan mengenai isterinya yang merupakan ketua eksekutif dana pelaburan negara, Temasek Holdings.

Lee Kuan Yew, pemimpin pertama Singapura selama tiga dekad dan meninggal dunia pada Mac 2015, sangat dihormati kerana mengubah bekas tanah jajahan British itu menjadi salah satu negara terkaya di dunia tetapi menghadapi kritikan daripada kumpulan hak asasi kerana mengawal kebebasan akhbar dan memenjarakan lawan politiknya.

Dalam ucapannya di Parlimen, Lee, 65, berkata, tuduhan yang dibuat oleh adik lelaki dan perempuannya adalah “sepenuhnya tidak berasas”.

“Saya tahu ramai warga Singapura kecewa dengan isu ini, mereka bosan dengan topik ini, dan berharap ia akan berakhir,” katanya kepada Parlimen, yang dikuasai ahli Parlimen daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP).

“Sebagai seorang anak lelaki, saya sedih kerana persengketaan ini akan menyebabkan ibu bapa saya menderita jika mereka masih hidup,” katanya.

Di masa lalu, mereka yang mengkritik keluarga pertama itu secara terbuka dikenakan saman fitnah tetapi pemimpin itu berkata dia tidak akan menyaman adik-beradiknya kerana proses itu boleh memakan masa selama bertahun-tahun dan “lebih memburukkan nama ibu bapa saya”.

Ketua Parti Pekerja Low Thia Khiang, mencabar supaya membawa adik-beradiknya itu ke mahkamah, mengatakan “tidak berbuat demikian akan merugikan kerajaan dengan memberi gambaran  ia takut dengan apa yang bakal dikatakan atau didedahkan adik-beradik Lee.”

Perdana menteri Singapura itu menyeru kepada perdebatan terbuka di Parlimen selepas beliau dan isterinya, Ho Ching diserang di Facebook.

Beliau memohon maaf buat kali kedua atas pertelingkahan itu dan menolak dakwaan nepotisme. Beliau berkata ketua Temasek dilantik lembaganya sebagai pengesahan presiden Singapura, dan anaknya sudah mengatakan tidak berminat dengan politik.

Pertelingkahan dengan saudara perempuannya, Wei Ling, 62, dan saudara lelakinya Hsien Yang, 60, berpunca daripada pertikaian mengenai apa yang perlu dilakukan dengan banglo keluarga berusia satu abad yang menjadi hangat sejak kematian Lee Kuan Yew.

Kuan Yew mahu banglo itu dimusnahkan selepas dia meninggal dunia untuk menghalang penciptaan kultus keperibadian, tetapi adik-beradiknya mengatakan Hsien Loong cuba menghalang perobohannya untuk memanfaatkan warisan ayah mereka.

Dalam ucapan hari ini, Hsien Loong berkata walaupun “klausa perobohan” terkandung dalam wasiat, bapanya “bersedia untuk mempertimbangkan alternatif” dan juga cadangan pengubahsuaian yang diluluskan sekiranya kerajaan memutuskan untuk merobohkannya.

Beliau berkata beliau tidak berada di belakang penubuhan jawatankuasa menteri yang diketuai timbalannya, Teo Chee Hean untuk meneroka pelbagai pilihan untuk rumah itu. – 3 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen