Kabinet akan selesai isu syarat lulus BM bagi pegawai perubatan


Desmond Davidson

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata, isu keperluan lulus Bahasa Melayu perlu ditangani bagi mengelakkan sebarang kontroversi yang boleh dimanfaatkan pihak tertentu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Julai, 2017.

KABINET akan campur tangan bagi menyelesaikan kontroversi kelonggaran syarat lulus Bahasa Melayu bagi pelantikan secara kontrak ke jawatan pegawai perubatan Gred UD41.

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata isu itu perlu ditangani kerana ia bukan sahaja menjadi polemik di kalangan pembela bahasa Melayu tetapi juga untuk mengelakkan sebarang kontroversi “yang boleh dimanipulasi pihak yang anti-establishment.”

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini memutuskan melonggarkan keperluan lulus minimum bagi Bahasa Melayu di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk pegawai Gred UD41.

Zahid berkata Menteri Kesihatan Dr S Subramaniam dan menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap JPA, Joseph Entulu, akan memberi taklimat kepada Kabinet pada mesyuarat mingguannya Rabu nanti.

“Kami tidak memerlukan isu kontroversi. Bagi saya, hal ini perlu ditangani dengan keterbukaan dan penjelasan,” kata Zahid selepas lawatan Gawai ke rumah Timbalan Ketua Sarawak Douglas Uggah di Tabuan Jaya.

Katanya, walaupun kerajaan mempunyai keperluan penguasaan bahasa untuk penjawat awam, beliau difahamkan keperluan itu ditekankan untuk pegawai Gred UD41 kerana mereka hanya kontrak.

“Lulus Bahasa Melayu selalunya wajib bagi mana-mana pegawai yang mahu bekerja dengan kerajaan.

“Tetapi dalam kes ini, ia bukan pekerjaan tetap tetapi kontrak ... mungkin ada kelonggaran yang diberikan. Jadi kami akan mendengar apa yang mereka katakan,” kata Zahid.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, dalam satu kenyataan semalam, berkata JPA melonggarkan keperluan itu, membangkitkan reaksi daripada golongan nasionalis bahasa.

Pertubuhan Alumni Kelab-Kelab Luar Negara Umno menyertai pertubuhan bukan kerajaan Melayu seperti Pertubuhan Warisan Melayu Johor dalam menentang keputusan itu.

Alumni itu berkata kerajaan perlu mencari mekanisme untuk meningkatkan kecekapan Bahasa Melayu di kalangan penjawat awam, dan bukannya melonggarkan syarat pengambilan pekerjaan itu.

Pertubuhan Warisan Melayu Johor berkata kelonggaran itu melanggar Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan mengenai kedaulatan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. – 3 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen