Wakil rakyat khianat Umno 'muka tembok'


ALHAMDULLILAH, Umno selesai menjalankan proses pemilihan parti yang berlangsung secara tenang dan penuh amalan demokrasi bagi memilih pucuk pimpinan baharu yang akan menerajui parti sepanjang tahun 2018 hingga 2021.

Belum terlambat untuk kami Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Johor Bahru untuk mengucapkan tahniah kepada mereka yang terpilih tidak kira untuk peringkat pusat mahupun bahagian.

Tugas yang berat menanti barisan pucuk pimpinan yang baharu dan kami di peringkat sayap, sentiasa bersama menjadi penggerak kepada proses merawat parti keramat ini.

Namun, dalam tempoh beberapa hari ini kita dihidangkan dengan banyak berita mengenai tindakan pemimpin Umno yang keluar daripada parti dengan pelbagai alasan tersendiri.

Apa pun alasan diberikan, Pemuda UMNO Bahagian Johor Bahru menyifatkan pemimpin ini sebagai “muka tembok” dan mengkhianati perjuangan parti yang mereka laungkan sebelum ini sehingga meninggalkan parti tatkala Umno dalam tahap paling bawah ketika ini.

Mereka dipilih menerusi sistem pilihan raya umum yang menyaksikan rakyat memberi undi kepada mereka hasil dana peruntukan parti yang mengangkat mereka sebagai calon.

Tetapi kenapa perlu dikhianati kepercayaan rakyat dan parti yang membantu mereka sehingga menjadi wakil rakyat?

Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Johor Bahru dengan tegas mencabar semua pemimpin “muka tembok” ini untuk meletak jawatan yang dipilih menerusi sistem demokrasi pilihan raya umum.

Ini bagi membolehkan rakyat memilih semula calon wakil rakyat dan parti pilihan mereka, bukannya membiarkan diri sebagai pengkhianat menjalankan tugas dan tanggungjawab di kawasan anda.

Kepada semua, ingatlah ini adalah medan perjuangan untuk kita sama-sama memulihkan kepercayaan rakyat pada Umno, jika anda rasa diri anda tidak mampu, berundurlah. Jangan jadi “duri dalam daging”. Cukuplah Umno “menderita” dengan sikap pemimpin seperti ini. – 2 Julai, 2018.

*Mohd Hairi Mad Shah adalah ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Johor Bahru

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Relex lah saudara, kepala dah karam dia org carilah tempat berpaut

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Zaidi Manas · Ulasan