Arab Saudi lanjut tarikh akhir, Qatar tetap ingkar


Menteri Luar Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani berkata senarai tuntutan Arb Saudi dan sekutunya itu dibuat untuk ditolak. – Gambar AFP, 3 Julai, 2017.

QATAR ingkar sedang Arab Saudi dan sekutu-sekutunya hari ini melanjutkan tarikh akhir bagi Doha untuk menerima beberapa tuntutan untuk membatalkan sekatan terkini yang dikenakan.

Tuntutan mereka termasuk menghentikan sokongan Doha kepada Ikhwanul Muslimin, penutupan televisyen Al-Jazeera, menamatkan hubungan diplomatik dengan Iran dan penutupan pangkalan tentera Turki di negara itu.

Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Bahrain dan Mesir memberi Doha 10 hari untuk mematuhi 13 tuntutan mereka, dengan semalam adalah tarikh akhir.

Pelanjutan 48 jam itu adalah sebagai tindak balas kepada permintaan Emir Kuwait yang bertindak sebagai pengantara dalam krisis Teluk itu.

Qatar berkata ia akan memberikan maklum balas kepada Emir, Sheikh Sabah al-Ahmad Al-Sabah, hari ini.

Surat itu akan diserahkan Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani.

“Senarai tuntutan itu dibuat untuk ditolak,” kata Sheikh Mohammed pada Sabtu.

“Semua orang menyedari tuntutan ini bertujuan untuk melanggar kedaulatan negara Qatar,” katanya pada sidang berita di Roma.

“Keadaan Qatar ... menolaknya sebagai satu prinsip,” katanya, sambil menambah “Kami bersedia terlibat dalam menyediakan syarat yang sesuai untuk dialog lanjut.”

Arab Saudi dan sekutunya mengumumkan pada 5 Jun memutuskan hubungan dengan jiran Teluk mereka, mencetuskan krisis diplomatik terburuk bakal melanda rantau ini dalam beberapa dekad.

Mereka menuduh Doha menyokong ekstremisme dan terlalu rapat dengan saingan serantau Iran, yang dikecam kuat Qatar.

Krisis ini meningkatkan kebimbangan akan ketidakstabilan di rantau ini, yang menjadi pusat kepada beberapa pengeluar tenaga terbesar di dunia dan beberapa sekutu utama Barat yang menyediakan kemudahan ketenteraan Amerika Syarikat.

Menteri Luar Jerman Sigmar Gabriel, yang memulakan lawatan ke beberapa negara Arab pada hari ini, menyeru dialog “serius” untuk menamatkan krisis.

“Kami bimbang ketidakpercayaan dan perpecahan itu boleh melemahkan semua pihak yang berkenaan serta seluruh semenanjung,” kata Gabriel, yang akan melawat Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu dan Qatar.

Riyadh dan penyokongnya memisahkan hubungan udara, laut dan tanah dengan Qatar, memotong laluan penting untuk import termasuk makanan.

Warganegara Qatar diperintahkan untuk meninggalkan negara dan pelbagai langkah diambil terhadap syarikat dan institusi kewangan Qatar.

Tidak jelas apa langkah selanjutnya akan diambil jika Qatar gagal memenuhi tuntutan itu, tetapi duta Emiriah ke Rusia Omar Ghobash memberi amaran pada minggu lalu sekatan selanjutnya boleh dikenakan. - AFP, 3 Julai 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen