Jamal Yunos ditahan polis Indonesia


Muzliza Mustafa

Jamal Yunos (duduk, kiri) melarikan diri semasa proses ikat jamin bulan lalu, ditahan polis Indonesia hari ini. – Gambar Facebook, 2 Julai, 2018.

JAMAL Md Yunos, yang diburu polis sejak 25 Mei lalu, hari ini ditangkap polis Indonesia dan sedang diusahakan untuk dibawa pulang ke Malaysia, kata Muhyiddin Yassin.

“Saya dimaklumkan pada jam 6.15 petang (waktu Malaysia), pihak Polis Negara Republik Indonesia (POLRI) telah berjaya menangkap Datuk Seri Jamal Yunos.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Pemerintah Republik Indonesia, khususnya  POLRI atas bantuan mereka,” kata menteri dalam negeri itu dalam satu kenyataan ringkas petang tadi.

Jamal didakwa atas pertuduhan melakukan mudarat awam dengan memecahkan botol arak menggunakan penukul besi di hadapan pintu pagar keluar Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Shah Alam, Selangor pada 5 Oktober lepas.

Selain itu beliau turut disiasat atas beberapa kes lagi termasuk di bawah Seksyen 34 Akta Senjata 1960.

Jamal didakwa ketika menerima rawatan sakit belakang di Hospital Pakar Ampang Puteri tetapi menghilangkan diri ketika masih dalam reman.

Walaupun tidak hadir pada pemilihan Umno baru-baru ini, Jamal berjaya mengekalkan jawatan ketua Umno Bahagian Sungai Besar yang disandangnya. β€“ 2 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen