CHINA menyifatkan kehadiran kapal tentera Amerika Syarikat (AS) berhampiran pulau di Laut China Selatan yang diduduki Beijing merupakan ‘provokasi politik dan ketenteraan yang serius’.
Beijing turut mengerahkan tentera laut dan pesawat pejuang miliknya sebagai tindakan amaran terhadap kapal milik AS itu, kata jurucakap kementerian luar China, Lu Kang dalam satu kenyataan, lapor agensi berita Xin Hua.
Kapal pemusnah USS Stethem itu melewati kurang 22 kilometer dari pulau Triton di semenanjung Kepulauan Paracel, yang turut dituntut Taiwan dan Vietnam, kata jurucakap AS kepada AFP.
Operasi terbabit untuk menunjukkan kebebasan belayar di perairan itu, berlaku beberapa jam selepas Presiden AS, Donald Trump menghubungi rakan sejawatnya dari China, Xi Jinping.
“Pihak China menggesa agar pihak AS menghentikan segera operasi bersifat provokasi yang mengancam kedaulatan dan keselamatan China,” kata jurucakap kerajaan China yang menambah, Beijing akan mengambil segala tindakan yang perlu untuk mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negaranya. – AFP, 3 Julai, 2017
Komen