5 perkara jadi tumpuan dalam bahas Oxley Road


PERDANA Menteri Singapura Lee Hsien Loong akan mengambil masa beberapa jam pada persidangan Parlimen hari ini untuk menjawab tuduhan salah guna kuasa yang dilemparkan adiknya – Lee Hsien Yang dan Dr Lee Wei Ling.

Perselisihan membabitkan Lee dan adiknya itu tertumpu pada rumah mendiang bapa mereka Lee Kuan Yew di 38 Oxley Road, tetapi ia bukan lagi pertelingkahan keluarga kerana kini ia menyebabkan imej kerajaan terjejas, lapor Straits Times.

Akhbar itu berkata ahli Parlimen menghantar soalan dengan lima isu yang perlu diberi perhatian dalam bahas hari ini.

1.Skop jawatankuasa menteri bagi kaji pilihan untuk rumah itu

Tidak lama selepas Timbalan Perdana Menteri Teo Chee Hean mengumumkan komposisi dan tanggungjawab jawatankuasa itu untuk mengkaji pilihan bagi rumah Kuan Yew, Hsien Yang berkata jawatankuasa itu secara asasnya cacat.

2. Salah guna kuasa berkaitan pengendalian barang Kuan Yew

Adik-beradik Lee mendakwa Hsien Loong dan isterinya Ho Ching mengeluarkan beberapa barangan dalam rumah di Oxley Road dan dipinjamkan kepada Lembaga Warisan Negara (NHB).

Barangan itu dikeluarkan tanpa kebenaran dan pinjaman kepada NHB itu diatur menerusi Pejabat Perdana Menteri.

Ahli Parlimen mungkin akan bertanya adakah wujud peraturan menghalang ahli keluarga wakil rakyat mempengaruhi penjawat awam.

3. Konflik kepentingan

Hsien Yang mengecam wujudnya rahsia dalam jawatankuasa menteri mengenai rumah Oxley Road, berkata berlaku konflik kepentingan kerana ahlinya ialah orang bawahan Hsien Loong.

4. Pertelingkahan terbuka dan reputasi Singapura

Rakyat republik itu bimbang pergaduhan adik-beradik secara terbuka akan mencemar legasi Kuan Yew dan kenangan terhadapnya.

5. Adakah ahli Parlimen akan tanya soalan yang sukar dijawab?

Ahli Parlimen perlu membuktikan mereka boleh “tanya soalan yang bagus bagi menjaga kepentingan rakyat Singapura memandangkan mereka tidak perlu bertanya untuk parti”, kata Dr Norshahril Saat felo penyelidik di Institut Yusof Ishak dipetik sebagai berkata. – 3 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen