Helikopter terhempas di Indonesia, dua maut


Indonesia mengalami beberapa nahas udara sejak beberapa bulan lepas termasuk Disember lalu yang membunuh tiga orang. – Gambar EPA, 2 Julai, 2017.

SEKURANG-KURANGNYA dua orang terbunuh dan beberapa lagi masih hilang selepas helikopter mencari dan menyelamat terhempas di Indonesia, kata seorang pegawai hari.

Kejadian itu yang terbaru dalam siri nahas udara di negara itu.

Helikopter itu membawa sekurang-kurangnya lapan orang termasuk empat krew ketika ia merempuh tebing di Temanggung, Jawa Tengah tengahari tadi, kata seorang pegawai di kementerian hal ehwal sosial kepada AFP.

“Ia kawasan pergunungan, tetapi masih boleh dimasuki dan pasukan kami sudah berada di sana dan sedang cuba sedaya upaya mencari penumpang lain,” kata Adhy Karyono.

Dua mayat yang masih belum dikenal pasti sudah ditemui, tambahnya.

Helikopter itu dalam misi menyelia situasi mencari dan menyelamat di Jawa Tengah, tempat sebuah gunung berapi meletup di Dieng tengahari tadi.

Lima orang cedera ringan apabila Gunung Sileri memuntahkan lava sejuk, debu dan lumpur setinggi 50 meter ke langit, dan pihak berkuasa bertindak pantas mengosongkan kawasan yang menjadi tumpuan pelancong itu.

Indonesia mengalami beberapa nahas udara sejak beberapa bulan lepas dan memiliki rekod penerbangan udara yang lemah.

Disember lalu, sebuah helikopter tentera terhempas di kawasan pendalaman Borneo, Indonesia membunuh tiga orang. Seorang lagi mangsa ditemui selamat beberapa minggu kemudian. – AFP, 2 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen