Iran-Perancis tandatangani perjanjian bangunkan industri minyak dan gas


Perjanjian itu ialah yang terbesar selepas sekatan ekonomi Iran dibatalkan tahun lepas. – Gambar EPA, 2 Julai, 2017.

SYARIKAT tenaga gergasi Perancis, Total akan menandatangani perjanjian bernilai bilion dolar bagi membangunkan padang minyak pesisir pantai Iran esok, kata kementerian minyak.

Perjanjian itu ialah perjanjian terbesar dengan kuasa asing selepas sekatan ekonomi dihapuskan tahun lepas.

“Perjanjian antarabangsa untuk membangunkan 11 fasa South Pars akan ditandatangani pada hari Isnin dihadiri kementerian minyak dan pengurus Total, syarikat China CNPC dan syarikat Iran Petropars,” kata jurucakap kementerian itu kepada AFP.

Jumlah keseluruhan perjanjian awal dengan Iran pada November, melibatkan 50.1 peratus pegangan dalam projek berjumlah AS$4.8 bilion (4.2 bilion euro).

China National Petroleum Corporation (CNPC) akan memegang 30 peratus kepentingan dan Petropars memegang 19.9 peratus kepentingan.

Jumlah keseluruhan awal ialah AS$1 bilion untuk fasa pertama projek selama 20 tahun.

Gas yang dihasilkan akan “memasuki pasaran domestik Iran bermula 2021” jurucakap Total memberitahu AFP di Paris.

Katanya lagi syarikat itu akan “melaksanakan projek itu dengan mematuhi undang-undang antarabangsa dan negara dengan ketat”.

Kontrak itu sepatutnya ditandatangani pada awal 2017, tetapi CEO Patrick Pouyanne berkata pada Febuari yang Total perlu menunggu sama ada pentadbiran Amerika dibawah pimpinan Donald Trump akan mengenakan semula sekatan kepada Iran.

Sewaktu kempennya, Trump menguggut akan membatalkan keputusan antara Iran dan enam kuasa dunia berkuatkuasa pada Januari 2016 yang mengurangkan sekatan sebagai balasan untuk pengawalan program nuklear Tehran.

Pentadbirannya setakat ini bersikap tegas kepada Iran dan mengenakan sekatan baru berkaitan program senjata peluru berpandunya dan aktiviti ketenteraan di rantau itu.

Tetapi Rumah Putih mengekalkan perjanjian nuklear itu, meneruskan pembatalan sekatan berkaitan setiap beberapa bulan seperti yang diperuntukkan perjanjian itu.

AS sedang dalam semakan untuk meneruskan perjanjian itu yang perlu dilakukan dalam tempoh 90 hari, walaupun sebarang tindakan untuk membatalkannya akan menerima tentangan kuat negara kuasa besar lain- Britain, Perancis, Jerman, China dan Rusia.

Perjanjian pada Isnin nanti akan menandakan kembalinya Total ke Iran, yang merupakan simpanan gas kedua terbesar dan simpanan minyak keempat terbesar dunia.

Syarikat Perancis itu membangunkan fasa kedua dan ketiga South Pars pada 1990an dan menandatangani pembangunan fasa 11 pada 2009.

Tetapi ia terpaksa membatalkan projek di Iran pada 2012 selepas Perancis menyertai rakan Kesatuan Eropah lain untuk mengenakan sekatan, termasuklah embargo minyak kerana program nuklear negara itu.

Iran sangat berminat untuk menarik pelaburan dan teknologi Barat bagi meningkatkan infrastruktur tenaga negara itu yang sudah lapuk.

Iran juga menandatangani perjanjian dengan Shell dan Gazprom, syarikat Rusia bagi pembangunan projek minyak dan gas.

Fasa pertama projek 20 tahun di South Pars akan menelan belanja sekitar AS$2 bilion dan terdiri daripada 30 telaga dan dua platform utama yang menghubungkan kemudahan rawatan pesisir pantai sedia ada.

Tapak itu dijangka mampu menggali 50.9 juta kubik meter (1.8 bilion kaki kubik) gas setiap hari ke dalam grid tenaga Iran. – AFP, 2 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen