PENDAKWA raya Korea Selatan pada Isnin mengemukakan permohonan waran tangkap ke atas pengerusi syarikat penerbangan Korea Selatan, Korea Air Lines, kerana didakwa melakukan penyelewengan dan mengelak membayar cukai.
Cho Yang-ho, 69, disyaki mengelak daripada membayar lebih 50 bilion won (US $45 juta) untuk cukai warisan, lapor Xinhua.
Beliau turut dituduh melakukan penyelewengan dengan membayar yuran peguam menggunakan dana syarikat, selain membuat keuntungan menerusi kontrak perniagaan yang ditawarkan secara tidak adil kepada syarikat dikuasai keluarganya.
Cho juga dituduh memperolehi keuntungan secara salah dengan menjalankan farmasi haram.
Selepas disoal siasat selama lebih 15 jam, beliau mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan.
Permohonan waran tangkap itu dikemukakan, kira-kira dua minggu selepas mahkamah Korea Selatan menolak penahanan isteri Cho, Lee Myung-hee.
Isterinya didakwa atas pelbagai tuduhan termasuk menyerang pekerja dan mengupah pekerja secara haram. Dua anak perempuan Cho turut disiasat atas tuduhan sama.– Bernama, 2 Julai, 2018.
Komen