Itali gesa negara Eropah lain buka pelabuhan untuk pelarian


Pasukan Palang Merah Itali memberi amaran yang pusat penempatan pelarian di Itali sudah tidak mampu menampung ketibaan pelarian dan situasi semakin kritikal. – Gambar EPA, 2 Julai, 2017.

MENTERI dalam negeri Itali menggesa negara Eropah lain membuka pelabuhan mereka kepada kapal penyelamat menjelang perbincangan antara Perancis dan Jerman bagi menangani isu kecemasan berkaitan pelarian.

Marco Minniti yang bertemu dengan rakan sejawatnya di Paris hari ini bagi persediaan perbincangan Kesatuan Eropah (EU) di Tallinn minggu ini berkata yang “kami dalam tekanan hebat” dalam satu tembual dengan akhbar Il Messaggero.

Ketibaan pelarian di Itali meningkat hampir 19 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas menyebabkan Rom mengugut untuk menutup pelabuhannya kepada kapal penyelamat persendirian atau mendesak potongan pembiayaan dikenakan kepada negara EU yang gagal membantu krisis itu.

“Terdapat kapal NGO, Sophia dan Frontex, kapal pengawal pantai Itali yang menyelamatkan pelarian di Laut Mediterranean,” katanya merujuk kepada kapal bantuan persendirian serta kapal misi anti penyeludupan dan keselamatan sempadan EU.

“Mereka belayar menggunakan pelbagai bendera negara Eropah. Sekiranya hanya pelabuhan Itali pelarian ini dibawa, ada perkara tidak kena. Ini ialah persoalan paling utama,” katanya.

“Saya seorang Eropah dan saya akan berbangga sekiranya hanya sebuah kapal pun pergi ke pelabuhan Eropah lain dan bukannya di Itali. Ia tidak akan menyelasaikan masalah Itali tetapi ia petanda besar yang Eropah mahu membantu Rom,” katanya.

Lebih 83,000 orang yang diselamatkan dalam cubaan merentas laut dari Libya dibawa ke Itali sepanjang tahun ini, menurut Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sementara lebih daripada 2,160 pelarian lagi terbunuh ketika cuba merentasi laut, kata Organisasi Antarabangsa untuk Migrasi.

Pasukan Palang Merah Itali juga sudah mengeluarkan amaran yang pusat penerimaan pelarian negara itu sudah tidak mampung menampung ketibaan pelarian dan situasi semakin kritikal.

Minniti dijadualkan bertemu dengan rakan sejawat Perancis, Gerrard Collomb; Jerman, Thomas de Maiziere dan Pesuruhjaya Kesatuan Eropah untuk Pelarian Dimitris Avramopoloulos di Paris.

Italy’s Red Cross has warned the situation in the country’s overcrowded reception centres is becoming critical.

Menteri Itali itu berkata yang Rom akan mengubah pusat pemprosesan permohonan suaka dari Itali ke Libya, dan membawa mereka yang berjaya mendapatkan hak perlindungan ke Eropah dengan selamat.

“Kita perlu membezakan sebelum mereka berlepas (merentasi Laut Mediterranean) antara mereka yang berhak menerima perlindungan kemanusiaan dan mereka yang tidak (layak).

“Dan berasaskan keputusan UNHCR, kita perlu memastikan mereka yang berhak dibawa ke Eropah sementara pendatang ekonomi akan dihantar pulang ke negara asal mereka,” katanya.

Rom juga mahukan pusat kawalan perairan serantau untuk mengawalselia semua operasi menyelamat dari Greece sehingga ke Libya sehinggalah Sepanyol, yang membolehkan penyerakan ketibaan pelarian antara negara Eropah.

Dan Itali mahu program penempatan semula pelarian EU- yang hanya terhad kepada mereka yang datang dari Eritrea dan Syria- diperluaskan untuk memasukkan rakyat lain, termasuklah Nigeria.

Antara September 2015 sehingga April 2017, seramai 5,001 pemohon suaka politik- 14 peratus daripada 34,953- dipindahkan dari Itali ke 18 negara Eropah lain, kata agensi pelarian PBB. – AFP, 2 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen