BEKAS Perdana Menteri Israel Ehud Olmert dibebaskan daripada penjara hari ini selepas diberikan parol daripada menjalani hukuman penjara 27 bulan kerana skandal korupsi yang menjatuhkan kerjaya politiknya.
Olmert, bekas perdana menteri pertama negara itu yang dijatuhkan hukuman penjara tidak bercakap kepada wartawan yang menunggu di luar penjara Maasiyahu di tengah Israel.
Memakai baju berwarna hitam, dia dilihat keluar daripada penjara awal pagi sebelum dibawa ke rumahnya di Tel Aviv ditemani ejen keselamatan Israel.
Bekas pemimpin berusia 71 tahun yang memerintah antara 2006 sehingga 2009 didapati bersalah kerana rasuah dan dipenjarakan pada Febuari 2016.
Lembaga parol membebaskannya awal dan mengurangkan hukumannya. Pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak membuat rayuan.
Syarat parolnya tidak diumumkan kepada orang awam, tetapi media Israel melaporkan yang syarat itu termasuklah melapor diri di balai polis dua kali sebulan dan larangan meninggalkan negara.
Dia juga perlu melakukan kerja sukarela membantu orang miskin, lapor akhbar Haaretz.
Dia boleh memohon pengampunan dari Presiden Reuven Rivlin yang akan membatalkan semua syarat parol itu. Menteri Kehakiman Ayelet Shaked memberitau radio tentera yang dia akan mempertimbangkan permintaan itu sekiranya dilakukan.
Mac lepas, Rivlin menolak permohonan pengampunan untuk Olmert, tetapi berkata dia akan mempertimbangkannya sekiranya dia diberikan parol.
Olmert, dari parti Kadima berhaluan kanan meletakkan jawatan pada September 2008 selepas polis mengesyorkan dia didakwa kerana rasuah.
Bagaimanapun dia memangku jawatan itu sehingga Mac 2009, apabila Benjamin Netanyahu mengangkat sumpah menjawat jawatan itu yang masih dipegangnya hingga kini.
Olmert meraih pujian antarabangsa kerana melancarkan usaha damai dengan Palestin ketika persidangan Annapolis di Amerika Syarikat pada 2007 walaupun gagal membuahkan hasil.
Lembaga parol berkata minggu lepas yang jenayah Olmer “sangat berat” dan dia “sudah pun dihukum berat”
Olmert masih boleh didakwa dengan dakwaan jenayah baru, walaupun media Israel melaporkan yang siasatan itu dijangka akan dihentikan.
Hukuman penjara 27 bulan kepada Olmert terdiri daripada hukuman 18 bulan kerana menerima rasuah pada awal 2000 bagi pembinaan kompleks perumahan Holyland di Jerusalem; lapan bulan untuk kes penipuan dan korupsi dan sebulan lagi kerana menghalang keadilan. – AFP, 2 Julai, 2017.
Komen