PRESIDEN Filipina Rodrigo Duterte mengancam akan memenjarakan pengkritik yang membantah penggunaan undang-undang darurat yang diisytiharkan di kawasan bergolak selatan negara itu. Ugutan itu dilakukan hanya beberapa hari sebelum Mahkamah Agung dijadualkan mengeluarkan penghakiman kesahan undang-undang itu minggu ini.
Duterte mengisytiharkan pemerintahan tentera di seluruh Mindanao yang mempunyai 20 juta penduduk hujung Mei lalu dalam usaha menyekat apa yang disifatkannya sebagai ancaman serius kumpulan Negara Islam (IS) di situ.
Presiden Filipina sebelum ini menegaskan yang dia tidak akan mempedulikan keputusan mahkamah itu, yang berkuasa membuat keputusan perlembangan dan berikrar hanya akan mendengar cadangan pihak tentera.
“Ia tidak bergantung kepada apa yang dihasratkan Mahkamah Agung. Perlukah saya percaya kepada mereka? Sedangkan saya melihat keadaan masih kacau bilau dan anda minta saya batalkan (undang-undang darurat)? Saya akan tahan dan penjarakan anda,” kata Duterte dalam satu ucapan kepada pegawai tempatan semalam.
“Kita boleh berbincang apa sahaja dan bertolak ansur tetapi bukan ketika kepentingan negara saya sedang diancam.”
Pasukan keselamatan kerajaan masih lagi bertempur dengan militan yang menakluk bandar Marawi menggunakan serangan udara dan darat. Pertempuan antara tentera kerajaan dan militan sudah menyebabkan hampir 400 orang terbunuh dan memaksa 400,000 lagi meninggalkan kawasan itu.
Duterte menerima kecaman keras pihak pembangkang yang memohon kepada Mahkamah Agung untuk menolak pengisytiharan undang-undang darurat itu bulan lepas, yang disifatkan mereka sebagai melanggar perlembagaan.
Peruntukan khas Perlembagaan 1987 membataskan undang-undang darurat bagi menghalang pengulangan salah guna kuasa yang pernah berlaku semasa pemerintahan diktator Ferdinand Marcos. Marcos ditumbangkan rakyat melalui revolusi “Kuasa Rakyat” negara itu setahun selepas itu.
Peruntukan itu membenarkan Mahkamah Agung untuk menyemak fakta yang digunakan untuk mengisytiharkan undang-undang darurat yang dihadkan kepada tempoh percubaan selama 60 hari. Sekiranya presiden mahu melanjutkan undang-undang darurat, kongres perlu menyemak keputusan itu dan mempunyai kuasa untuk membatalkannya. – AFP, 2 Julai, 2017.
Komen