Tentera Indonesia bersalah bunuh rakyat Papua, kata Amnesty


Amnesty International dalam laporan terbarunya berkata siasatan perlu dibuat terhadap dakwaan pembunuhan 95 orang di Papua sejak 2010, dipercayai dilakukan oleh pasukan tentera Indonesia. – Gambar AFP, 2 Julai, 2018.

PASUKAN tentera Indonesia dalang dalam pembunuhan kira-kira 95 orang di Papua sejak 2010, dengan tiada individu didakwa atas insiden itu, kata Amnesty International (Amnesty) dalam laporan terbarunya hari ini.

Papua, di separuh barat pulau New Guinea sudah lama bangkit menuntut kemerdekaan dari Indonesia.

Aktivis politik dan peserta demonstrasi aman membantah kerajaan adalah antara yang terbunuh dalam keganasan baru-baru ini, selain penduduk terbabit dalam perhimpunan bukan politik di wilayah paling timur Indonesia itu, kata kumpulan hak asasi manusia itu.

Amnesty berkata tidak ada satu kes pun tertakluk kepada siasatan jenayah bebas, di mana Amnesty mengambil masa dua tahun menemu bual keluarga mangsa, saksi, organisasi hak asasi manusia, aktivis politik dan kumpulan komuniti berasaskan gereja.

“Papua ialah salah satu lubang hitam di Indonesia bagi hak asasi manusia. Wilayah ini berlaku di mana pasukan tentera selama bertahun-tahun dibenarkan membunuh wanita, lelaki dan kanak-kanak, dengan tidak ada tindakan bakal dikenakan,” kata Pengarah Eksekutif Amnesty Indonesia Usman Hamid dalam satu kenyataan.

“Budaya ini dalam kalangan anggota keselamatan perlu berubah dan mereka yang bertanggungjawab atas kematian sebelum ini perlu bertanggungjawab.”

Jurucakap tentera bagi wilayah Papua, Muhammad Aidi berkata tuduhan pembunuhan tidak sah dan kuasa berlebihan oleh pasukan tentera itu tidak tepat.

Amnesty berkata 39 kematian berkait dengan aktiviti politik termasuk menaikkan Morning Star, bendera yang diharamkan di Papua.

Sebanyak 56 pembunuhan lain membabitkan penggunaan kuasa berlebihan oleh anggota tentera atau polis dan tidak berkait dengan desakan kemerdekaan.

Antara keganasan itu berpusat kepada protes terhadap lombong emas dan tembaga dimiliki syarikat berpangkalan di AS, Freeport McMoRan – rasa tidak puas hati penduduk yang miskin dan berjuang untuk kemerdekaan serta menuntut bahagian lebih besar daripada sumber asli wilayah itu.

Presiden Joko Widodo berjanji untuk memperbaiki hak asasi manusia di Papua selepas mengangkat sumpah pada 2014, tetapi Amnesty berkata beliau masih belum menunaikan janjinya.

Ia mendesak kerajaan Indonesia mengambil tindakan serta-merta menyiasat dakwaan pembunuhan dan pelanggaran hak asasi itu, selain menyemak semula taktik digunakan oleh pasukan tentera. – AFP, 2 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen