BEBERAPA orang terbunuh dan ramai cedera selepas letupan berani mati berlaku di timur Damsyik, Syria hari ini.
Laporan televisyen negara menyebut yang pasukan keselamatan mengesan tiga kereta yang membawa pengebom berani mati pada pagi Ahad
Salah sebuah kereta berjaya memasuki Damsyik dan meletupkan diri selepas dikepung pihak berkuasa menyebabkan beberapa kematian dan sejumlah lain cedera.
Agensi berita Syria, SANA memetik seorang pegawai kanan polis yang berkata “pengganas meletupkan tiga kereta secara serentak,” dua di jalan ke lapangan terbang Damsyik dan yang ketiga meletup di Sahat Al-Tahrir.
“Pengemboman yang dilakukan pengganas membunuh dan mencederakan beberapa orang awam dan merosakkan kawasan sekitar,” kata pegawai itu.
Damsyik tidak banyak terjejas dengan pertempuran besar yang memusnahkan bandar utama Syria yang lain sepanjang perang saudara negara itu yang berlanjutan selama enam tahun.
Tetapi ramai rakyat yang terbunuh dalam letupan terutama sekali yang berlaku di pinggir bandar.
Pertengahan bulan Mac lalu, serangan bom di mahkamah dan restoran di Damsyik membunuh 32 orang. Kumpulan militan Negara Islam Syria dan Iraq (IS) mengaku bertanggungjawab.
Kejadian itu berlaku tidak lama selepas dua letupan yang membunuh 74 orang di Bandar Lama yang dipertanggungjawabkan kepada Tahrir al-Sham, yang diketuai militan Barisan Fateh al-Sham.
Konflik Syria tercetus selepas protes anti kerajaan berlaku pada 2011, yang berkembang menjadi perang besar yang sudah membunuh 320,000 orang. – AFP, 2 Julai, 2017.
Komen