KETIKA Baru Bian kalah pilihan raya ketiganya pada 2006, gagal mempertahankan kerusi negeri Ba’Kelalan Sarawak, beliau mengisytiharkan dirinya “tewas tiga kali” dalam politik dan sedia untuk berhenti dan mengejar impiannya mengajar agama.
Bagaimanapun, sebelum beliau mengalah, negara mengalami tsunami politik pada 2008, di mana Barisan Nasional (BN) tewas dua pertiga majoriti di Parlimen dan menguasai lima negeri.
Ketua PKR Sarawak berusia 60 tahun itu yang juga ahli Parlimen Selangau menangguhkan hasratnya dan tidak lagi menoleh ke belakang sejak itu.
Penyertaan pertamanya dalam politik adalah pada 1987 melalui Pari Bansa Dayak Sarawak (PBDS) yang kini dibubarkan.
Selepas pertikaian pimpinan yang membawa kepada pembubaran parti itu pada 2004, Baru meneruskan perjalanan politiknya dengan menyertai PKR pada April 2008 dan pada November 2009, beliau sudah menjadi pengerusi PKR Sarawak.
Beliau sentiasa bersemangat untuk mempertahankan pemilik tanah asal, dan membina reputasi sebagai pejuang hak asal.
Bermula dari bawah
Baru yang dilahirkan di Lawas merupakan anak kepada guru sekolah luar bandar yang juga pastor Sidang Injil Borneo (SIB) dan dibesarkan dalam etnik Lun Bawang.
Selepas lulus sijil Senior Cambridge pada 1976, beliau dihantar ke Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang di Miri.
Selepas menamatkan Sijil Tinggi Persekolahan, beliau mula mengikut jejak bapanya - sebagai guru sementara di Sekolah Menengah Medamit di Limbang.
Beliau mengajar selama dua tahun sebelum menyambung pengajian di Universiti Teknologi Mara di Shah Alam mengambil jurusan Diploma Undang-Undang, yang merupakan laluan pertamanya hingga di mana beliau berada hari ini.
Baru menyambung pengajian dalam bidang undang-undang di Universiti Melbourne Australia.
Selepas tamat pengajian dan kembali ke tanah air pada 1986, beliau memulakan firma undang-undang menerusi Messrs Rashid & Lee di Kuala Lumpur sebelum dilantik sebagai peguam bela dan peguam cara di Mahkamah Tinggi Malaya.
Beliau kembali ke Kuching pada tahu berikutnya dan dari 1987 hingga 1988, beliau bekerja sebagai pembantu perundangan di firma Anthony Ting & Co.
Pada 1990, beliau menjadi rakan kongsi firma berkenaan dan tahun berikutnya beliau memilih untuk membuka firma guamannya sendiri Baru Bian Advocates & Solicitors.
Berkahwin dengan Yu Ching Sieu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata - dua daripadanya Joshua Parir dan Benjamin Bian merupakan peguam di firma guamannya.
Anak ketiganya Emmylyn Takong masih belajar di Universiti Adelaide di Australia.
Dengan pelantikannya sebagai menteri kerja raya dalam kabinet baharu, perjalanan politik Baru terus memasuki peringkat seterusnya.
Namun katanya, menjadi guru Bible adalah sesuatu yang beliau masih berharap untuk lakukan selepas mengakhiri perjaya dalam politiknya. – 2 Julai, 2018.
Komen