Tujuh belas cedera dalam kejadian tembakan di kelab malam AS


Risalah promosi Finesse 2 Tymes yang dijadualkan untuk membuat persembahan di Power Ultra Lounge, Little Rock, Arkansas pada malam kejadian tembakan. - Gambar Facebook, 1 Julai 2017.

TUJUH belas orang cedera dalam kejadian tembakan di sebuah kelab malam di kawasan selatan Arkansas, Amerika Syarikat, kata polis hari ini.

Sesetengah mangsa mungkin juga dipijak apabila tembakan dilepaskan di dalam Power Ultra Lounge di pusat bandar Little Rock sekitar 2.30 pagi, lapor KATV tempatan.

“Kami TIDAK percaya insiden ini adalah penembak aktif atau kejadian berkaitan keganasan,” tulis jabatan polis Little Rock di Twitter.

“Kelihatannya berlaku satu pertikaian di konsert.”

Polis kemudian mencatatkan tweet “KESEMUA 17 mangsa kes tembakan yang disahkan masih hidup,” dan salah seorang mangsa tembakan “yang kritikal kini STABIL.”

Polis tidak mengeluarkan nama atau maklumat mengenai suspek.

Menurut laman web kelab malam itu, seorang artis dengan nama Finese 2 Tymes dijadualkan untuk membuat persembahan. - AFP, 1 Julai 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen