Taman Negara Chiribiquete Colombia diiktiraf Tapak Warisan Dunia Unesco


Unesco mengiktiraf taman Negara Chiribiquete di Colombia untuk disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia. – Gambar AFP, 2 Julai, 2018.

TAMAN Negara Chiribiquete di Colombia terpilih untuk disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco), kata Presiden Juan Manuel Santos.

“Berita hebat untuk Colombia! Unesco menamakan Chiribiquete sebagai Tapak Warisan Dunia,” katanya menerusi Twitter pada Ahad.

Pada Isnin, presiden dijadual melawat banjaran gunung Cerro Azul, berhampiran dengan taman berkenaan.

Beliau akan merasmikan pembukaan kawasan baharu dan menjadikan jumlah keseluruhan dari 3.7 juta kepada 10.6 juta ekar.

Perluasan taman itu bertujuan memelihara kepelbagaian biologi serta mengurangkan kesan perubahan iklim, untuk memastikan sumber bekalan air kepada masyarakat petani peribumi di lembah sungai Orinoco dan Amazon.

Chiribiquete taman negara terbesar di Columbia, mempunyai lukisan gua terbesar di dunia, dengan 50 panel setinggi tujuh meter dan lebih 75,000 lukisan individu yang berusia 20,000 tahun. – Bernama, 2 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen