SEORANG wanita terbunuh dan tujuh lagi cedera dalam pertempuran antara pemberontak yang disyaki dan tentera kerajaan di Kashmir hari ini, kata pihak berkuasa polis dan hospital.
Tembak-menembak berlaku selepas tentera dan pasukan pengawasan khas polis mengepung kawasan kejiranan di kampung Dialgam selatan, yang bertindak atas maklumat mengenai pemberontak bersenjata bersembunyi di kawasan itu.
“Wanita itu terbunuh ketika kami sedang mengepung,” kata Ketua Polis Muneer Ahmed Khan.
Tambah Muneer lagi, dua hingga tiga pemberontak menembak dari dalam rumah di mana kira-kira enam orang awam lain ditangkap.
“Mereka menggunakan orang awam sebagai perisai,” katanya.
Saksi membantah dakwaan polis dan berkata jiran-jiran itu pergi ke rumah di mana pemberontak bersembunyi untuk membantu mereka ketika tentera tiba di kawasan itu.
“Mereka (orang awam) memberitahu tentera dari dalam rumah sama ada membiarkan pemberontak pergi atau bunuh kami juga,” kata seorang penduduk Dialgam yang enggan memberikan namanya.
Sebaik saja tembakan terdengar di kawasan itu, beratus-ratus penduduk kampung keluar ke jalan raya sambil memekik slogan anti-India dan melemparkan batu kepada askar dalam percubaan mereka untuk memecahkan kepungan polis dan membantu pemberontak melarikan diri.
Seorang pegawai polis bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan berkata, tujuh orang cedera apabila pihak berkuasa kerajaan menembak orang ramai.
Pihak berkuasa hospital mengesahkan kecederaan dan berkata seorang cedera teruk di kepala.
Berikutan pertempuran itu, pihak berkuasa memotong beberapa perkhidmatan telefon bimbit di kawasan terbabit.
Kashmir dibahagikan antara India dan Pakistan sejak berakhirnya penjajahan British pada 1947 tetapi kedua-duanya mendakwa wilayah itu secara keseluruhannya.
Kumpulan pemberontak berjuang selama beberapa dekad dengan kira-kira 500,000 askar India ditempatkan di wilayah yang dipertikaikan, menuntut kemerdekaan atau penggabungan wilayah Himalaya dengan Pakistan.
Konflik semakin meningkat di kalangan orang awam, yang kebanyakannya menentang pemerintahan India. Pertengkaran di antara pasukan kerajaan dan orang awam semakin buruk sejak kematian komander pemberontak yang sangat popular, Burhan Wani, pada Julai lalu. Ulang tahun kematiannya pada minggu depan dijangka meningkatkan ketegangan.
India bulan lepas mengerahkan dua batalion tentera tambahan - kira-kira 2000 tentera - ke kawasan bermasalah di kawasan selatan Kashmir. – AFP, 1 Julai, 2017.
Komen