3 kanak-kanak di Sarawak dijangkiti penyakit anjing gila


Desmond Davidson Jason Santos

JABATAN Kesihatan Sarawak mengisytiharkan “amaran kesihatan” di daerah Serian, kira-kira 67km dari Kuching, selepas tiga kanak-kanak dilaporkan dijangkiti penyakit anjing gila.

Kanak-kanak berusia antara 4 dan 7 tahun dengan dua daripada mereka adik-beradik, dilaporkan “sangat parah” dan berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Umum Sarawak (HUS) di Kuching.

Kementerian Kesihatan yang mencatatkan amaran di laman webnya, menyatakan mereka menerima laporan daripada jabatan kesihatan negeri pada 29 Jun yang memberitahu tiga kes virus ensefalitis di HUS.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr. Noor Hisham Abdullah berkata sampel air kencing dan air liur, juga biopsi kulit mangsa yang dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) di Kuala Lumpur mengesan virus anjing gila.

Kes pertama adalah kanak-kanak lelaki berusia 4 tahun dari Kampung Paon, Sungai Rimu.

Hisham berkata, kanak-kanak itu mengalami demam pada 5 Jun dan dihantar ke Klinik Kesihatan Balai Ringin yang jauhnya 30km pada hari itu untuk rawatan pesakit luar.

Beliau berkata apabila keadaannya tidak bertambah baik dan menunjukkan tanda-tanda “kesukaran bernafas, perubahan tingkah laku, menjadi agresif dan mempunyai tanda-tanda hydrophobia (takut air)”, dia dirujuk ke Hospital Daerah Serian pada 8 Jun.

Keesokan harinya, dia dipindahkan ke HUS.

Hisham berkata, kanak-kanak itu dipercayai digigit anjing “dua hingga tiga bulan” sebelum ini.

Kes kedua ialah kakak mangsa berusia 6 tahun. Dia dijangkiti demam pada 12 Jun, dan pertama kali mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Balai Ringin dua hari kemudian.

Apabila dia menunjukkan simptom yang sama dengan adiknya, dia dibawa ke HUS.

Kes ketiga ialah kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun dari Kampung Lebur di Gedong - sebuah daerah di sebelah Sungai Rimu.

Dia juga pada mulanya dirawat untuk demam, tetapi apabila dia mendapat sawann, dia dibawa ke HUS.

Hisham berkata ia tidak dapat dipastikan jika mangsa ketiga digigit anjing.

Mengambil pilihan

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Prof Dr. Sim Kui Hian berkata, pemusnahan anjing liar di Serian boleh menjadi pilihan untuk mengawal merebaknya penyakit itu.

Sim, yang bertanggungjawab dalam portfolio kesihatan di Sarawak, tidak menyatakan sama ada pemusnahan itu sudah bermula.

Bagaimanapun, dalam kiriman Facebook, beliau berkata jabatan kesihatan, Jabatan Veterinar Sarawak, Majlis Daerah Serian dan Persatuan Pencegahan Kekejaman Haiwan (SSPCA) Sarawak “sudah mula bekerjasama dengan segera untuk mengawal penyakit anjing gila di Serian” .

Kementerian Kesihatan berkata ia sedang menyiasat kes-kes tersebut dan akan menjalankan pengenalan aktif dan pasif, serta mengeluarkan amaran kepada semua kemudahan kesihatan awam dan swasta di daerah-daerah berkenaan.

Sabah haram pemindahan haiwan

Di Sabah, pihak berkuasa negeri mengharamkan pergerakan dan pemindahan haiwan hidup dari Sarawak.

Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Pertanian dan Industri Makanan Yahya Hussin mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri membatalkan semua permit import dan mengetatkan pemeriksaan di semua pintu masuk ke Sabah.

“Saya dapat tahu tiga kes penyakit anjing gila manusia didiagnosis di Serian, Sarawak oleh Kementerian Kesihatan.

“Saya percaya ini adalah kes pertama yang dilaporkan di Malaysia Timur, dan saya lega mengatakan  Sabah masih bebas daripada penyakit anjiing gila,” katanya.

Yahya juga menyeru orang ramai untuk berjaga-jaga dan melaporkan tingkah laku anjing yang mencurigakan kepada pihak berkuasa.

Pada September 2015, satu kes yang melibatkan manusia yang digigit anjing gila menggesa Jabatan Perkhidmatan Veterinar mengisytiharkan wabak anjing gila di Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.

Ini menimbulkan panik di kalangan orang awam memandangkan pihak berkuasa menjalankan pemusnahan anjing untuk membendung penyakit itu.

Bagaimanapun, tiada seorang pun daripada pesakit menunjukkan tanda-tanda penyakit anjing gila, dan  kesemua negeri terbabit diumumkan bebas daripada wabak itu pada bulan November.

Malaysia sebelum ini dilaporkan belum pernah melaporkan sebarang kes penyakit anjing gila dalam tempoh 15 tahun. – 1 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen