MODEL Australia, Miranda Kerr yang menyerahkan barang kemas bernilai AS$8.1 juta (RM35 juta) yang dihadiahkan Jho Low kepada Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) pada Jumaat lepas, sering menerima hadiah mewah, lapor Sydney Morning Herald hari ini.
Kerr berpacaran dengan Low, atau Low Taek Jho, selama hampir setahun selepas perceraiannya dengan pelakon Orlando Bloom pada 2014.
Antara hadiah yang diterima daripada Low ialah berlian berbentuk hati 11.72 karat bernilai AS$ 1.29 juta dan loket berlian 8.88 karat berharga AS$ 3.8 juta.
DoJ memfailkan tiga saman sivil untuk merampas aset, termasuk perhiasan Kerr, berjumlah AS$4.5 bilion yang didakwa dibeli dengan wang yang daripada 1Malaysia Development Bhd.
Tetapi SMH berkata Kerr juga berpasangan dengan James Packer, pemilik kasino Crown Resorts, selepas berpisah dengan Bloom.
Akhbar Australia berkata Kerr kerap menerima hadiah mewah daripada ramai peminat di seluruh dunia.
“Beliau bermandikan berlian daripada kekayaan sheikh di Timur Tengah hingga James Packer ... banyak lelaki bersungguh-sungguh memperlihatkan kasih sayang mereka selama bertahun-tahun ... Saya tahu antaranya daripada Cartier yang dihantar salah seorang daripada mereka beberapa tahun lalu,” kata seorang rakan Kerr.
Pada 23 Jun, Kerr menyerahkan hadiah Low kepada ejen kerajaan dari peti deposit keselamatannya di Los Angeles, jurucakap memberitahu Wall Street Journal.
Pada 2009, Kerr dan teman lelakinya, Bloom, menjadi mangsa, “Bling Ring” Hollywood, sekumpulan pencuri yang menyasarkan individu Paris Hilton dan mencuri permata, karya seni dan pakaian berjenama mahal.
Pasangan itu kehilangan sejumlah besar pakaian fesyen mahal, koleksi jam Rolex, barang Louis Vuitton, dan karya seni.
Pada 27 Mei, Kerr berkahwin dengan jutawan dan juga pengasas Snapchat, Evan Spiegel. – 1 Julai 2017.
Komen