SEORANG doktor terbunuh dan enam cedera selepas seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke sebuah hospital di New York semalam, kata datuk bandar, dengan penembak itu kemudian membunuh diri.
Datuk Bandar Bill de Blasio berkata beberapa doktor dalam keadaan serius akibat kecederaan berikutan insiden di daerah Bronx itu.
Katanya, lelaki bersenjata itu juga seorang doktor dan bekas pekerja tetapi tidak diketahui motifnya namun dipercayai disebabkan “perkara berkaitan tempat kerja”.
Ketua Polis New York James O’Neill menambah lima yang cedera itu parah manakala mangsa keenam cedera di kaki.
Kejadian itu berlaku di Hospital Bronx-Lebon kira-kira jam 3 petang (3 pagi waktu Malaysia), terletak di bahagian paling sibuk di utara bandar itu.
Penyerang itu ditemui mati di tingkat 17 hospital akibat kecederaan ditembak, tambah O’Neill.
Seorang doktor wanita mati, dijumpai terbaring berhampiran.
De Blasio merujuk kepada kejadian tembakan besar-besaran yang pernah terjadi di negara itu beberapa tahun kebelakangan ini, dan berkata: “Terima kasih Tuhan ini bukan tindakan keganasan. Ini adalah insiden terpencil.”
“Kami bersimpati terhadap keluarga doktor yang meninggal dunia,” katanya, sebelum memuji pegawai penyelamat dan pasukan polis kerana tindak balas pantas mereka, serta ahli bomba yang berjaya memadamkan kebakaran yang turut berlaku. – AFP, 1 Julai 2017.
Komen