Lelaki Amerika amuk, 9 cedera di parti hari lahir


Timmy Kinner, 30, dari Los Angeles berang selepas tidak dibenarkan tinggal di kompleks pangsapuri untuk pelarian di Idaho, menyebabkan dia menyerang di parti kanak-kanak berumur tiga tahun hingga sembilan cedera termasuk enam kanak-kanak. – Gambar Facebook, 2 Julai, 2018.

SEORANG lelaki bertindak menyerang tetamu pada satu jamuan ulang tahun menggunakan pisau di kompleks pangsapuri murah untuk pelarian di Idaho, Amerika Syarikat (AS), dan mencederakan sembilan orang termasuk enam kanak-kanak.

Polis berkata serangan itu bermotif balas dendam, selepas lelaki yang dikenal pasti polis sebagai Timmy Kinner, 30, dari Los Angeles itu diminta meninggalkan kediaman berkenaan di ibu negeri Boise Jumaat lalu.

Ketua polis Bill Bones pada sidang media berkata lelaki itu bukan pelarian tetapi tinggal bersama seorang kenalannya selama beberapa hari.

Dia kemudian kembali pada malam Sabtu untuk “membalas dendam” dengan menyasarkan sekumpulan kanak-kanak yang hadir meraikan parti hari lahir seorang kanak-kanak tiga tahun sebelum menyerang dewasa yang cuba melindungi mereka.

Kanak-kanak terbabit berusia antara tiga hingga 12 tahun. Empat daripada mangsa cedera parah, namun polis tidak mengesahkan jika mereka kanak-kanak atau dewasa.

Kebanyakan pelarian dalam kompleks itu berasal dari Syria, Iraq dan Habsyah. – AFP, 2 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen