SEORANG peguam Chicago dengan kisah silam meragukan yang menjadi tumpuan ramai apabila dia memfailkan saman kepada Boeing dan Malaysian Airlines apabila Penerbangan MH370 hilang pada 2014, sudah melarikan diri, menyebabkan pelanggannya kecewa dan tertanya-tanya tentang sistem kehakiman Amerika Syarikat (AS).
Monica Ribbeck Kelly menubuhkan Ribbeck Law Chartered bersama abangnya Manuel Von Ribbeck, lapor Forber semalam.
Edward Clinton, seorang peguam yang memfailkan saman amalan salah terhadap Monica berkata yang Ribbeck Law menutup talian telefon dan laman sesawangnya dan Monica kembali ke Lima, Peru tahun lepas.
Forbes melaporkan yang Monica terbang ke Beijing selepas kehilangan MH370. Penerbangan itu hilang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing. Dia dan peguam Shanghai, William Wang menyakinkan ramai ahli keluarga untuk melantiknya bagi menyaman Boeing dan Malaysian Airlines di Amerika Syarikat. Mereka menjanjikan tuntutan kewangan yang lumayan melalui saman itu.
Monica memfailkan petisyen kes di Mahkamah Tinggi Cook County bagi pihak keluarga mangsa MH 370 tetapi hakim menyifatkan kes itu sebagai semborono dan membuang kes itu.
Tetapi, saman yang difailkan Clinton kepada Ribbeck Law mendakwa yang Monica tidak pernah memfailkan kes itu.
“Mereka ditipu.
“100% amalan salah di sini,” kata Clinton yang membawa kes itu bagi pihak keluarga mangsa MH370.
Sebelum memfailkan aduan terhadap Monica, Clinton menulis kepada Monica bagi meminta penjelasan caranya menguruskan kes itu.
Tetapi tiada balasan diterima dan dia pulang ke Peru, negara asalnya. Walaupun sekiranya Clinton memenangi kes amalan salah itu, Peru tidak akan melaksanakan penghakiman yang dikeluarkan mahkamah Amerika Syarikat.
Justin Green, seorang peguam penerbangan, berkata kebanyakkan peguam dalam litigasi bencana udara mengenali satu sama lain, tetapi tidak ramai antara mereka yang pernah melihat hasil kerja perundangan dilakukan Ribbeck. – 30 Jun, 2017.
Komen