Gengster Perancis lari dari penjara guna helikopter


Redoine Faid, 46, melarikan diri dari penjara berhampiran Paris menggunakan helikopter dengan bantuan dua rakan subahat yang menggunakan bom asap. – Gambar AFP, 2 Julai, 2018.

POLIS Perancis melancarkan pencarian besar-besaran terhadap seorang gengster kejam yang dikatakan melakukan jenayah diinspirasikan daripada filem Hollywood seperti “Scarface”, selepas banduan itu melarikan diri dari penjara, lengkap dengan merampas helikopter dalam operasi gaya komando.

Redoine Faid, 46, melarikan diri dari penjara berhampiran Paris itu dengan bantuan dua rakan subahat yang menggunakan bom asap dan pengisar untuk tembus ke bilik melawat di mana Faid ketika itu sedang bercakap dengan adiknya, yang kemudian ditahan, menurut sumber penjara.

Tiga lelaki itu dengan pantas melarikan diri menggunakan helikopter dalam operasi yang tidak sampai 10 minit pun, kata sumber.

Ini kali kedua Faid melarikan diri dari penjara – pada 2013, dia melarikan diri dari penjara di utara Perancis menggunakan dinamit.

Sumber polis berkata kira-kira 2,900 polis digerakkan untuk memburunya di seluruh negara.

Helikopter berkenaan yang dirampas daripada pengajar penerbangan – mendarat kira-kira 11.15 pagi di laman penjara.

Warden yang tidak dicederakan kemudian menyelamatkan diri dan membunyikan sistem penggera.

Helikopter berkenaan ditemui di pinggir utara Paris kira-kira 60km dari penjara, kata sumber.

Sumber polis berkata juruterbang helikopter itu ialah pengajar penerbangan berkenaan yang sedang menunggu pelajar tetapi diculik oleh rakan subahat Faid. Dia dipaksa menerbangkan helikopter berkenaan sebelum dibebaskan.

Banduan berkenaan dikatakan menggunakan sebuah kereta yang kemudiannya ditemui di parkir sebuah pusat beli-belah, kata polis.

Pada April, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 25 tahun ke atas Faid kerana menjadi dalang dalam kes rompakan bersenjata pada 2010 dan menyebabkan seorang anggota polis wanita terbunuh. – AFP, 2 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen