Zahid tiba di ibu pejabat SPRM 


Muzliza Mustafa

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi melambai tangan kepada pemberita yang berkumpul di perkarangan ibu pejabat SPRM di Putrajaya hari ini. Beliau tiba pada jam 9.45 pagi ini untuk memberi keterangan berhubung skandal 1MDB.– Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 2 Julai, 2018

PRESIDEN Umno yang baharu dilantik Ahmad Zahid Hamidi tiba di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya pada jam 9.45 pagi ini bagi membantu siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau yang juga bekas timbalan perdana menteri dipanggil SPRM untuk diambil keterangan berhubung pertemuannya dengan putera Arab yang didakwa mendermakan sejumlah RM2.6 bilion kepada bekas perdana menteri Najib Razak.

Selain itu, beliau juga dipercayai akan disiasat kerana didakwa menggunakan wang daripada yayasan yang ditubuhkan oleh keluarganya untuk membayar bil kad kredit.

Zahid semalam menjelaskan, beliau antara lain akan menjelaskan kepada SPRM bahawa wang yayasan berkenaan antaranya melibatkan sumbangan olehnya sendiri.

“Wang yang terdapat dalam yayasan itu datang dari sumbangan saya sendiri dan beberapa kawan yang hendak melakukan amal jariah.

 “Ini yang akan diperjelaskan kepada SPRM esok,” katanya dalam sidang akhbar sulungnya selepas terpilih menjadi presiden Umno semalam.

Yayasan berkenaan ditubuhkan untuk menjalankan kerja amal termasuk pembinaan masjid, maahad tahfiz dan umah anak yatim, katanya.– 2 Julai, 2018

MENYUSUL 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen