Kemudahan pelancar peluru berpandu China di Laut China Selatan hampir siap


Pulau Pagasa salah satu pulau dalam Kepulauan Spartly yang menjadi rebutan banyak negara yang cuba menguasai Laut China Selatan. – Gambar EPA, 29 Jun, 2017.

TIGA pangkalan Beijing yang terletak di kawasan yang menjadi rebutan di Laut China Selatan sedang menghampiri keupayaan penuh peletakan aset ketenteraan termasuklah pelancar peluru berpandu mudah alih, lapor sebuah badan pemikir Amerika Syarikat semalam.

Melalui analisis gambar satelit, Asia Maritime Transparency Initiative (AMTI) berkata pangkalan Fiery Cross Reef milik Beijing di Kepulauan Spratly kini memiliki 12 tempat perlindungan kebal, tambahan empat lagi berbanding yang dilihat pada Febuari, dengan bumbung terbuka yang boleh menempatkan pelancar peluru berpandu.

Di pangkalan Fiery Cross, Subi dan Mischief Reef, China juga meluaskan kemudahan komunikasi dan radarnya dengan pembinaan menara radar di sana.

Dan pembinaan baru “stuktur bawah tanah yang sangat besar”, empat di setiap satu pangkalan itu sedang dilakukan, AMTI mengatakan berdasarkan reka bentuknya berkemungkinan ia adalah gudang senjata api dan pelbagai barangan keperluan lain.

“Pembinaan insfrastruktur ketenteraan dan dwi-guna di ‘Big 3’…sedang memasuki keupayaan penuh, dengan kemudahan pertahanan laut, udara dan radar yang AMTI jejaki sejak dua tahun lalu sudah hampir siap,” kata kumpulan itu.

“Beijing kini boleh mengerahkan aset ketenteraanya, termasuk pesawat tempur dan pelancar mudah alih peluru berpandu kepada Kepulauan Spratly pada bila-bila masa sahaja.”

AMTI, sebahagian daripada badan pemikir Pusat Kajian Antarabangsa dan Strategik di Washington, berkata pangkalan udara di tiga pulau, dan yang keempat di Pulau Woody di Kepulauan Paracel membenarkan tentera udara China untuk beroperasi hampir sepenuhnya di Laut China Selatan.

Disember lalu, AMTI melaporkan yang senapang anti pesawat udara dan pelbagai jenis sistem pertahanan lain sudah diletakkan di pulau itu.

China menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan walaupun berdepan tuntutan sama dari Taiwan, Filipina, Brunei, Malaysia dan Vietnam.

Amerika Syarikat juga memberi amaran terhadap peletakan ketenteraan dalam rantau itu atau ancaman kepada sempadan perairan antarabangsa.

“Kami menentang pembinaan pulau tiruan China dan peletakan ketenteraan mereka di perairan antarabangsa,” kata Setiausaha Negara AS Rex Tillerson di Sydney awal Jun lalu. – AFP, 30 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen