Ubat generik paling berkesan rawat HIV diedar di Afrika


70 peratus mereka yang hidup dengan HIV tinggal di Afrika, kos ubat yang mahal dan sistem perubatan yang lemah memburukkan keadaan di sana. – Gambar EPA, 29 Jun, 2017.

VERSI generik ubat paling berkesan merawat HIV diperkenalkan di Kenya, negara pertama di Afrika, benua yang mana lebih daripada 25 juta orang hidup dengan penyakit merbahaya itu, kata NGO Unitaid hari ini.

Ubat itu, Dolutegravir (DTG) ialah ubat anti retroviral pilihan kepada penghidap HIV di negara maju, tetapi harganya yang mahal menyebabkan ia tidak mampu diperolehi penghidap penyakit itu di Afrika.  

“Generik DTG mempunyai dua kelebihan: satu ia sangat bagus kesannya daripada pandangan farmaseutikal. Kedua, ia jauh lebih murah,” kata sukarelawan Unitaid, Robert Matiru yang bekerja untuk mengurangkan kos perubatan merawat AIDS, batuk kering atau malaria.

Dia menyifatkan ubat itu sebagai “rawatan HIV paling berkesan wujud di pasaran sekarang.”

Sebotol DTG yang mempunyai 30 pill boleh bertahan sebulan berharga antara AS$25 (RM107) dan AS$50 (RM215). Versi generik pula hanya berharga AS$4 (RM17).

Kenya sudah mula mengedarkan ubat itu yang pada mulanya akan diberikan secara percuma kepada 27,000 orang yang hidup dengan virus HIV yang mempunyai kesan sampingan menggunakan ubat jenis lain yang ketika ini digunakan di negara itu.

Ia akan mula diedarkan ke seluruh negara hujung tahun ini, dan akan juga boleh diperolehi di Nigeria dan Uganda.

Ubat itu lebih mudah diambil berbanding ubat lain dalam pasaran, hanya memerlukan sebiji pil untuk sehari, kurang kesan sampingan, dan kurang risiko mewujudkan rintangan pada virus kata Matiru lagi.

Lebih kurang 37 juta orang hidup bersama virus HIV/AIDS di seluruh dunia, 70 peratus daripada mereka tinggal di Afrika, menurut statistik Organisasi Kesihatan Dunia (WHO). – AFP, 29 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen