Pasukan ping pong lelaki China tarik diri dari Terbuka Australia


Ma Long, antara tiga pemain teratas dunia gagal hadir untuk perlawanan perseorangan kedua di Terbuka China sebagai tanda bantahan apabila Liu Guoliang dilepaskan daripada tugasnya sebagai ketua jurulatih.– Gambar EPA, 29 Jun, 2017.

PASUKAN kuat ping pong lelaki China menarik diri dari Terbuka Australia minggu depan, menambahkan lagi krisis yang tercetus selepas penyingkiran ketua jurulatih mereka.

Pengunduran pasukan itu daripada acara yang akan diadakan minggu depan di Gold Coast diumumkan Persekutuan Ping Pong Antarabangsa (ITTF) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Ia beberapa hari selepas tiga pemain teratas di dunia - Ma Long, Fan Zhendong dan Xu Xin gagal hadir untuk perlawanan perseorangan kedua di kejohanan berprestij Terbuka China sebagai tanda bantahan ke atas keputusan untuk melepaskan Liu Guoliang yang sangat dihormati daripada tugasnya sebagai ketua jurulatih.

Persatuan Ping Pong China (CTTA) melancarkan siasatan ke atas insiden yang memalukan itu.

“Malang sekali apabila keputusan dibuat untuk menarik balik keseluruhan pasukan lelaki,” kata ITTF dalam kenyataan itu. Menurut ITTF, ia “berita mengecewakan untuk semua peminat ping pong di seluruh dunia”.

Pasukan wanita China akan bermain, kata ITTF.

Dua jurulatih China juga menarik diri daripada kejohanan itu di Chengdu minggu lepas, mencetuskan kemarahan kepada peminat fanatik ping pong China. – AFP, 29 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen