2 aktivis politik Mexico maut ditembak pada hari mengundi 


Pilihan raya Mexico kali ini mencatat sejarah sebagai pilihan raya paling ganas dengan jumlah pembunuhan yang meningkat membabitkan aktivis dan calon pilihan raya. – Gambar EPA, 2 Julai, 2018.

DUA ahli parti politik Mexico ditembak mati pada Ahad ketika pilihan raya umum dijalankan di negara itu, sekaligus mencatatkan peningkatan jumlah keganasan yang menyaksikan 145 ahli politik terbunuh.

Flora Resendiz Gonzalez, yang merupakan ahli Parti Pekerja di negeri barat Michoacan, terbunuh selepas ditembak pada jam 6.30 pagi semasa berada di rumahnya di bandar Contepec, kata pihak berkuasa tempatan. 

Kemudian pada hari yang sama, ahli parti pemerintah Parti Revolusi Institusi (PRI), Fernando Herrera Silva, ditembak di Acolihua, di tengah negeri Puebla. 

“Kami menuntut jaminan keselamatan di negeri ini pada proses pilihan raya,” kata PRI dalam satu kenyataan. 

Pembunuhan politik hampir menjadi fenomena harian di Mexico pada pilihan raya kali ini, dengan sekurang-kurangnya 145 ahli politik terbunuh sejak September, menurut firma perunding Etellekt.

Ini menjadikan musim pilihan raya kali ini sebagai yang paling ganas dalam sejarah Mexico. 

Mangsa yang terbunuh termasuk 48 calon, 28 yang dibunuh ketika kempen biasa dan 20 lagi ketika kempen pilihan raya umum.    

Kebanyakan pembunuhan itu membabitkan ahli politik tempatan, dan sasaran biasanya adalah kartel dadah Mexico. 

Mexico dolanda gelombang keganasan sejak pihak kerajaan melancarkan tindakan ketenteraan bagi membanteras penyeludupan dadah pada 2006. 

Sejak itu, lebih 200,000 orang dibunuh—walaupun statistik tidak menujukkan berapa banyak kes yang berkait dengan jenayah terancang. 

30,000 orang lagi dilaporkan hilang. 

Pengarah Etellekt Ruben Salazar berkata, keganasan politik mencetuskan pemecahan kartel dadah sejak kempen membanteras dadah bermula. – AFP, 2 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen