JEPUN sudah merendahkan tahap kesediaan ketenteraan berdepan ancaman peluru berpandu Korea Utara ketika Washington memulakan rundingan nuklear dengan Pyongyang, kata laporan memetik beberapa sumber mengetahui perkara itu dikeluarkan pada Ahad.
Laporan itu terbit ketika Jepun berdepan tekanan untuk melembutkan pendirian tegasnya kepada Pyongyang selepas sidang kemuncak antara Presiden AS Donald Trump dan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un bulan lepas.
Pasukan Pertahanan Diri Jepun pada Jumaat membatalkan program untuk menghantar kapal perang Aegis ke Laut Timur yang boleh mengesan dan memintas peluru berpandu, lapor Asahi Shimbun.
Tetapi, Jepun akan sentiasa bersedia memintas peluru berpandu yang dikesan menerusi imej satelit perisik, lapor akhbar itu lagi.
Pegawai pertahanan Jepun berkata yang Tokyo mengikut jejak AS yang sudah menurunkan tahap amaran di kawasan Indo-Pasifik. Jepun juga menangguhkan latihan kecemasan orang awam untuk berdepan serangan Korea Utara.
Kementerian Pertahanan Jepun masih tidak memberikan maklum balas tentang isu ini. – AFP, 1 Julai, 2018.
Komen