Aktivis demokrasi Hong Kong, Joshua Wong ditahan polis


Joshua Wong salah seorang aktivis pelajar pro demokrasi berpengaruh di Hong Kong ditahan polis ketika membuat bantahan menjelang lawatan Presiden China. – Gambar AFP, 28 Jun, 2017.

AKTIVIS pelajar pro demokrasi Hong Kong, Joshua Wong ditahan polis hari ini selepas protes anti China yang dilakukan menjelang lawatan Presiden China Xi Jinping.

Wong antara hampir 20 aktivis yang melakukan protes di depan kawasan pelabuhan hampir tiga jam sebelum ditahan polis dan dimasukkan ke dalam sebuah van.

Lawatan Xi minggu ini untuk meraikan ulang tahun ke 20 Britain menyerahkan Hong Kong kepada China dan berlaku ketika kebimbangan semakin memuncak yang Beijing sedang meluaskan cengkamannya kepada bandar yang mempunyai kuasa autonomi itu.

Aktivis melakukan bantahan dengan mengelilingi tugu bunga bauhia emas yang menjadi jata Hong Kong pada 1997.

Tugu itu diberikan China kepada bandar itu bagi meraikan penyerahan kembali jajahan British kepada China.

Beberapa aktivis dilihat merantai diri mereka kepada tugu itu, dan ada juga memanjatnya.

Polis mengosongkan kawasan itu dan mengepung tugu tersebut, sebelum menahan aktivis.

Ramai yang berundur tetapi Wong dan seorang lagi aktivis muda Nathan Law tidak berganjak daripada tempat mereka sebelum ditahan polis.

Polis memberikan amaran kepada aktivis yang mereka mengganggu ketenteraman awam dan akan ditahan sekiranya tidak bersurai.

Xi dijangka tiba di Hong Kong Khamis ini untuk lawatan tiga hari bagi menghadiri sambutan ulang tahun penyerahan dan upacara angkat sumpah pemimpin Hong Kong yang baru, Carrie Lam.

Hong Kong diperintah melalui sistem “satu negara, dua sistem” yang termaktub dalam perjanjian penyerahan kembali, yang membenarkan hak yang tidak pernah wujud di China diamalkan di Hong Kong termasuklah kebebasan bersuara dan kebebasan perundangan.

Tetapi wujud kebimbangan yang China semakin meluaskan pengaruhnya dan masuk campur dalam pelbagai bidang termasuk politik, pendidikan sehingga media.

Aktivis di tugu tersebut turut meluangkan slogan “Umbrella Movement”.

“Umbrella Movement” ialah nama yang diberikan kepada kebangkitan rakyat pada 2014 mendesak perubahan demokratik. Wong dan Law adalah antara pemimpin pelajar yang mengetuai protes itu, walaupun akhirnya protes itu gagal mencapai kejayaan. – AFP, 28 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen