Alibaba suntik AS$1 bilion lagi kepada Lazada


Alibaba yang diasaskan Jack Ma mula meluaskan pengaruhnya ke pasaran perdagangan global apabila mula memasuki pasaran Asia Tenggara yang disifatkannya masih belum diteroka. – Gambar AFP, 28 Jun, 2017.

SYARIKAT gergasi e-perdagangan Alibaba berkata yang ia akan menyuntik AS$1 bilion lagi kepada Lazada, syarikat berpangkalan di Asia Tenggara dalam usaha syarikat itu meningkatkan pegangan dalam pasaran membeli belah dalam talian rantau ini yang semakin berkembang.

Pelaburan itu akan menyaksikan pegangan Alibaba dalam Lazada meningkat kepada 83 peratus berbanding 51 peratus dan menjadikan jumlah keseluruhan pelaburan syarikat itu sehingga kini kepada AS$2 bilion.

“Pasaran e-perdagangan dalam rantau ini masih belum diterokai dan kami melihat projektori yang sangat positif,” kata Ketua Eksekutif Alibaba Daniel Zhang, menganggarkan hanya tiga peratus jualan runcit di Asia Tenggara dilakukan dalam talian.

Alibaba, yang diasaskan lelaki terkaya China, Jack Ma, ialah pemain utama dalam pasaran perdagangan dalam talian yang semakin berkembang pesat ketika pembeli semakin memilih untuk membeli melalui internet.

Awal bulan ini, Alibaba menjangkakan pertumbuhan purata tahunan sebanyak 45-49 peratus. Ini diikuti dengan keuntungan bersih yang meningkat hampir dua kali ganda bagi suku tahun berakhir 31 Mac lalu, 60 peratus peningkatan pendapatannya.

Taobao, platform yang dimiliki Alibaba dijangka memegang lebih daripada 90 peratus pasaran perdagangan pelanggan-kepada-pelanggan di China, sementara platform Tmall pula dipercayai mengendalikan lebih daripada separuh transaksi perniagaan-kepada-pelanggan di China.

Tetapi perniagaan perdagangan antarabangsanya hanya berjumlah 10 peratus daripada jumlah pendapatan syarikat itu dalam tempoh suku pertama tahun ini. – 28 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen